Tuesday, April 13, 2010

~Isu Buang Bayi Semakin Ketara~Apa Solusinya???



Isu buang bayi nyata tumbuh kembali. Dahulu ia pernah hangat seketika, kembali senyap tetapi kini semakin menjadi-jadi.

Dengan kejadian semakin banyaknya penemuan bayi tidak berdosa, kebanyakannya hanya tinggal jasad, dengan litupan hanyir sampah sarap dan gigitan semut merah.

Kita membaca lagi berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang - seorang daripadanya lelaki, ditemui di depan pintu tandas wanita di tingkat satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Mayat bayi kedua masih masih lagi berdarah, terapung di perangkap sampah dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun.

Perangkaan ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes tahun lalu.

Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (pada 2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah tahun lalu, 79 kes membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat lagi kes pembuangan janin.

Hal Ehwal Wanita dan Mahasiswi (HEWI) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) memandang serius permasalahan ini kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga.

Sekarang masanya untuk kita duduk bersama, bermuhasabah dan membincangkan ketempangan akhlak dan moral yang semakin meruncing dan mengambil tindakan lanjutan untuk menanganinya.

Siapa daripada kita yang dapat menyangkal mengenai kepentingan institusi keluarga itu sendiri?

Imam Al-Ghazali berkata: "Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa."

Justeru, penting sekali untuk diingatkan kepada ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan baik.

Bukanlah isunya “membalas dendam” - sekiranya sewaktu kecil dahulu kita tidak dibesarkan dalam keluarga yang sejahtera – namun berkaitan dengan soal pilihan.

Pilihan justeru ada di tangan kita. Pilihlah yang baik dan sejahtera untuk kehidupan kita dan generasi kita selepas ini.

Apakah suluhan yang lebih baik daripada cahaya dan panduan agama itu sendiri? Justeru, rujuklah kembali penyelesaian agama dalam membangun sebuah keluarga yang sakinah.

Demikian juga tanggungjawab pemerintah dan pihak berwajib. Janganlah kerana terlalu taksub dan teruja dengan situasi politik yang ada sekarang sehingga mengabaikan tugas asasi yang terpikul di bahu masing-masing.

Agenda pembangunan ummah dan kebajikan perkara nombor satu yang harus diutamakan.

Pada hemat kami, tentulah yang paling dipertanggungjawabkan dan harus cakna mengenai isu ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan persatuan-persatuan yang banyak tumbuh di laman kampus juga harus menggalas tanggungjawab ini - mendidik masyarakat dan juga mahasiswa mengenai bahayanya gejala-gejala sosial seumpama ini.

Kami insaf dengan tanggungjawab kami, dan dengan itu kami akan menyokong penuh dan membantu segala cadangan dan gerak kerja yang baik oleh kerajaan dan pihak berwajib.

Bagaimanapun, kesedaran seseorang individu tetaplah yang paling utama. Kami menggesa semua pihak, khususnya seluruh wanita Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, agar sama-sama beringat-ingat dan berjaga-jaga.

Jangan lagi sebagai wanita, kita rela dan mudah diperlakukan sewenang-wenangnya. Bukan sedikit kes yang timbul akibat sifat terlalu "mudah percaya" kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Kukuhkanlah diri dengan jati diri wanita yang baik dan terpelihara. Kembalilah kepada ajaran agama, nescaya semuanya akan bahagia dan sejahtera.


sumber:MalaysiaKini Baca Selengkapnya..

Template by:
Free Blog Templates