Wednesday, January 28, 2009

Seriuslah dengan ALLAH

Pernah Sayyidina Umar bin Khattab r.a. ketika berziarah ke rumah Baginda, merasa terharu menyaksikan seorang kekasih Allah S.W.T sedang berbaring di atas tikar yang merupakan susunan pelepah-pelepah kurma. Nampak bekas jalur tikar ditubuhnya.

Di dalam rumah baginda yang penuh barakah itu tidak ternampak peralatan lambang kemewahan, hanya ada almari yang berisi segantang gandum kasar. Kemudian Sayyidina Umar r.a. menangis di hadapan Nabi Muhammad s.a.w.. Rasulullah s.a.w. pun bertanya, “Apa yang menyebabkan engkau menangis, wahai Umar?”

“Aku melihat para Kaisar dan Kisra serta raja-raja lain tidur di atas katil mewah beralaskan sutera, tetapi di sini aku melihat engkau tidur beralaskan tikar seperti ini,” jawab Sayyidina Umar.

“Wahai Umar, tidakkah engkau sependapat denganku. Kita lebih suka memilih kebahagian di akhirat sedang mereka memilih dunia.” Itulah jawapan seorang hamba Tuhan. Luluhlah hati Sayyidina Umar mendengar jawapan daripada Rasulullah s.a.w. itu.

Begitulah gambaran peribadi seorang yang sangat mencintai dan takut dengan Tuhan. Bukan hanya dalam keadaan susah beliau boleh mengekalkan kehambaannya tapi dalam keadaan mewah dan kedudukannya yang tinggi sekalipun Rasulullah s.a.w. tetap merasakan kehambaannya. Lantaran itulah baginda memilih kemiskinan daripada kemewahan.


Serius memperhambakan diri kepada Allah melahirkan rasa cinta terhadap Allah subhanahu wa ta'ala.

Inilah lambang keseriusan hatinya dengan Tuhan. Begitu serius untuk memperhambakan diri kepada Tuhan. Serius dalam mencari cinta dan redha. Bagaimana sikap orang yang serius dengan Tuhan? Antaranya ialah dalam keadaan apa pun, hati sentiasa cemas dan bimbang terhadap Tuhan. Kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan dirasakan belum berbuat. Kalaupun berjaya dalam satu kerja, dirasakan belum hasil kerjanya, tapi milik Tuhan.

Di dalam diri sudah tertanam rasa kurang, rasa lemah, rasa tidak mampu; sehingga dari situ lahirlah benih-benih cinta terhadap Tuhan. Cinta Tuhan ini sangat diperlukan dalam kehidupan seorang insan.

Ikhwah fillah,

Insafilah bahawa Tuhan sangat menyukai hamba-hambanya yang serius denganNya. Serius maknanya sentiasa berusaha untuk dekatkan diri dengan Tuhan. Segala apa yang kita buat sentiasa dihubungkait dengan Tuhan. Suka atau tidaknya Tuhan terhadap apa yang kita lakukan menjadi persoalan yang sentiasa ada dalam fikiran dan hati kita.

Hadirkanlah Tuhan, bagi mengiringi kerja-kerja yang kita lakukan, baik kerja-kerja lahir mahupun yang batin. Agar kita berhati-hati dan sentiasa berwaspada terhadap tindakan kita. Apabila kita serius denganNya, maka Tuhan akan memberikan perhatianNya. Betapa besar kasih sayang Tuhan kepada hambaNya, pamerhatianNya itu adalah lambang kasih sayangNya pada hambaNya.

Rasa serius dengan Tuhan adalah satu anugerah yang Tuhan beri pada seseorang. Sebab tidak semua orang dapat memilikinya. Ada sesetengah orang memang tidak diberi. Buktinya hari ini, masih ramai lagi manusia yang tidak pernah sedikit pun ambil kira tentang Tuhan. Lantaran itu, bantuan Allah S.W.T tidak datang kepada kita…

Maka banyaklah kes yang berlaku hari ini, sesuatu yang tidak patut berlaku. Misalnya murid-murid yang sepatutnya segan dan hormat terhadap guru, tapi kini sudah berani mengugut gurunya, membakar sekolah. Bapa merogol anak sendiri, anak-anak membunuh ibu bapa. Sangat mengerikan dan menakutkan. Ini sebenarnya satu masalah besar yang tidak boleh dibiarkan.

Puncanya, kerana manusia hari ini sudah melupakan Tuhan. Hati manusia tidak lagi dicorak oleh kecintaan dan takut pada Tuhan, tapi dicorak oleh kepentingan nafsu dan kepentingan duniawi. Kerana itu, perlu disuburkan rasa bertuhan iaitu melahirkan kembali rasa cinta dan takut kita pada Tuhan. Usaha-usaha ke arah itu, sudah menjadi wajib, kerana rasa-rasa inilah yang akan mencorak peribadi kita.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates