Friday, July 17, 2009

Bangkai Yang Dihalalkan Syarak

Surah al-Maidah ayat 3

Sementara itu dibenarkan dalam perkara perburuan membunuh binatang dengan alat yang tajam yang boleh mengoyak kulit dan menembus jasadnya seta mengeluarkan darah. Apabila binatang perburuan itu mati sabit dengan alat perburuan itu maka ia dihalalkan oleh syarak. Bagaimanapun jika ia ditimpa sesuatu tidak disabit dengan alat perburuan tersebut maka ia tidak dibolehkan syarak. Ulama berbincang hangat berhubung dengan binatang perburuan yang mati dengan senjata senapang yang ada hari ini.

Adakah senjata itu termasuk alat perburuan yang tajam atau tidak. Ulama-ulama silam yang berpegang kepada senapang zaman dahulu sebagaimana yang dinyatakan Syed Sabiq di dalam kitabnya Fiqhus Sunnah bahawa peluru di zaman itu dibuat dari tanah bukan dengan logam seperti besi, tembaga dan lain-lain.

Oleh itu binatang yang ditembak dengan senjata itu dimana pelurunya dibuat daripada tanah yang mematikan binatang itu dengan kekuatan merempuh bukan mengoyakkan kulit maka ia diharamkan. Adapun peluru yang digunakan sekarang yang menggunakan logam terdapat kekhilafan di kalangan ulama.

Ada ulama yang mengharamkannya, mengatakan dia sama dengan peluru di zaman dahulu dan ada ulama yang menghalalkannya. Yang dinamakan “al-Barud” (dalam bahasa Arab) iaitulah dengan menggunakan bahan letupan dan logam yang mempunyai kekuatan ketajaman yang boleh mengoyak kulit dan menembusi jasad. Ulama yang menghalalkannya termasuk Siddiq Hassan Khan, Syed sabiq Asy Syaukani, As-San’ani di dalam kitab mereka, al Imamul Nawawi di dalam Kitab al-Fatawa mengatakan bahawa dihalalkan binatang perburuan yang menggunakan senapang atau bahan letupan yang ada pada hari ini.

Dikecualikan binatang perburuan yang dimatikan oleh binatang yang digunakan untuk berburu seperti anjing, harimau bintang, helang dan seumpamanya. Kita akan memahami tafsir ayat akan datang menerangkan bagaimana binatang perburuan yang dimatikan oleh binatang yang dilepaskan untuk berburu secara lebih terperinci.

Sebagai contoh anjing yang dilepaskan untuk berburu, membunuh binatang buruan sehingga mati tanpa sempat disembelih dengan syarat ia adalah anjing yang diajar untuk berburu maka binatang buruan itu halal dimakan. Yang melakukannya tidak kira sama ada helang, harimau bintang dan lain-lain yang diajar untuk berburu di negeri Arab.

Dan dikecualikan juga binatang-binatang laut atau yang hidup di dalam air termasuk ikan dan lain-lain lagi berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa para sahabat pernah bermusafir di tepi laut dan berjumpa dengan seekor ikan besar yang naik ke darat dan mereka merasakan air laut masin sehingga menjadi serba salah kepada mereka untuk menentukan hukuman sama ada boleh berwudhu’ denagn air laut atau tidak dan bagaimana pula hukuman binatang laut yang mati itu.

Lalu mereka bertanya Rasulullah s.a.w berkenaan dengan air laut lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Airnya bersih dan halal bangkainya.”

Ertinya airnya boleh digunakan untuk berwudhu’ dan membersihkan najis, mandi dan lain-lain. Manakala bangkainya yang mati tanpa disembelih dihalalkan oleh syarak. Termasuk juga perkara tidak perlu disembelih ialah belalang.

Belalang ialah binatang yang dihalalkan oleh syarak. Belalang boleh dimakan sama ada untuk digoreng, digulai, dibuat sambal atau seumpamanya tanpa menyembelihnya berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh aisyah ra bahawa rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Dihalalkan kepada kami dua bangkai iaitulah ikan dan belalang. Dihalakan juga dua darah iaitu hati dan limpa.”

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates