Wednesday, November 25, 2009

..Aidiladha..






Ada beberapa perkara penting yang mungkin kita dapat berkongsi bersama..

1. Korban adalah sunat yang dituntut atau sunat muakkadah. Oleh itu kewajaran orang yang ada kemampuan untuk memberikan korban walaupun satu bahagian (RM 350) untuk setiap tahun. Ada yang menghabiskan wang dengan bil telefon sebulan beratus-ratus tetapi berkira untuk melakukan korban walaupun satu bahagian.

2. Dari segi keutamaannya (aulawiyyat), sekiranya masih terdapat golongan miskin di kampung-kampung dan di kawasan berhampiran, maka yang itu lebih perlu diutamakan untuk diberikan daging korban. Sekiranya tiada, kemudian di luar kampung, kemudian di daerah luar, kemudian di dalam negeri, kemudian di dalam negara.. kemudian barulah di luar negara. Sekiranya ada keluarga yang terdekat, saudara mara dan sahabat handai yang miskin, maka bantuan kepada mereka patut didahulukan.

3. Berkorban perlu lah lembu yang sihat. Lembu yang tidak sihat, cacat, mempunyai penyakit kulit, buta, patah kaki, tidak cukup umur akan menyebabkan korban tidak sah dan akan menjadi lembu sembelihan biasa sahaja. Lembu yang tegap, isi daging yang banyak dan sihat menjadi keutamaan walaupun harganya agak mahal daripada lembu yang kurus tetapi murah.

4. Sekiranya didapati lembu korban betina bunting, maka biarkanlah lembu itu melahirkan dahulu anaknya. Sekiranya dikorbankan juga dan anaknya mati di dalam kandungan, maka anak lembu tersebut sah dimakan dan tidak perlu disembelih kerana ibu nya sudah disembelih. Sekiranya anaknya hidup, biarkan sahaja anaknya hidup.

5. Berhati-hati dengan lembu liar yang ganas. Sekiranya di dalam proses ingin menyembelih tersebut, kakinya patah atau telinganya putus akibat usaha untuk menjinakkan atau menenteramkannya, maka korban tersebut tidak sah dan dianggap sebagai sembelihan biasa sahaja.

6. Seekor lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian korban. Sekiranya ada yang berhajat untuk aqiqah boleh melaksanakannya pada masa yang sama maka ia dibolehkan contohnya 3 bahagian aqiqah dan 4 bahagian korban. Tetapi sekiranya ada keluarga berhasrat untuk melaksanakan 7 bahagian hanya untuk aqiqah sahaja maka ia adalah satu kerugian. Ini kerana, korban hanya dilakukan pada 4 hari raya AidilAdha sedangkan selebihnya 361 hari lagi ada banyak masa untuk melakukan aqiqah.

7. Daging korban adalah afdhal diberikan di dalam keadaan mentah. Ianya diberikan kepada orang Islam sahaja. Berbeza dengan daging aqiqah yang lebih dahulu dimasak. Walaupun begitu kedua-duanya tidak dibolehkan untuk disedekahkan kepada bukan Islam. Di dalam kes Aqiqah, sekiranya ada jiran bukan Islam yang ingin diberikan daging Aqiqah kepada mereka, maka, kita boleh membeli daging daripada luar (bukan daripada yang disembelih) dan dicampurkan sekali di dalam masakan. Contohnya, jika berhajat untuk menghadiahkan 10 kg daging kambing kepada jiran bukan Islam, boleh beli daging di pasar dan campurkan sekali di dalam masakan. Maka, setelah masak bolehlah diserahkan kepada yang bukan Islam.

8. Daging korban tidak boleh dijual. Ini termasuk tulang belulang, isi perut, ekor dan juga kulit. Malah, untuk membayar upah kepada si tukang sembelih dan pelapah juga tidak boleh menggunakan daging korban sebagai bayaran. Ia boleh dianggap hadiah sahaja tetapi bukan upah kepada mereka.



9. Sekiranya ayah atau ibu sudah meninggal dunia, kita tidak boleh melakukan korban untuk mereka kecuali mereka telah mewasiatkan kita untuk berbuat demikian. Sekiranya ibu atau ayah masih hidup, maka keizinan daripada mereka adalah perlu. Sekiranya tidak mendapat keizinan korban tidak boleh dilakukan.

10. Hari raya aidil Adha adalah hari raya yang paling penting, dan 4 kali ganda lebih penting daripada hari raya Aidil Fitri. Sepatutnya dirayakan dengan lebih meriah dan penuh kesyukuran.

Diharap dapat iktibar sedikit sebanyak daripada apa yang ditulis.

KEMBARA CINTA SUDAH BERMULA...

Pergilah tetamu Allah
Pergilah menuju Allah…
Pergilah membawa hatimu yang pasrah
Tiada lain yang kau cari
Kecuali kasih-sayang Ilahi

Haji ertinya menuju…
menuju Allah yang satu
Namun jalan cinta itu penuh sembilu
Kan bertandang ujian beribu liku
Merintang diri dan hati
Kerna setiap cinta itu pasti diuji…
Apakah sejati atau ilusi.


Sebelum melangkah mulakan muhasabah
Bagaimana belanja kita ke sana?
Apakah keringat sendiri yang mengalir?
Apakah dari sumber yang bersih?
Apakah dari pekerjaan yang baik?
Tanpa penipuan, tanpa penzaliman
Hasil usaha ‘halalan taiyiban?’Kemudian muhasabah pula diri kita seikhlasnya
Leburkan mazmumah semampunya
Hasad, dengki, marah, bakhil ditekan sekuatnya
Mensucikan hati di pohon keampunan
Minta kemaafan dari manusia
Mohon taubat segala dosa…
Barulah nanti terlerai rantai di hati
Terasa ringan melangkah kaki!

Pakaikan kain ihram di tubuh
Serah diri seluruh…
Pangkat, derjat, bintang dan gelaran meluruh
Kini kita hanya seorang hamba
Yang benar-benar hina di hadapan-Nya

Datanglah bagaikan hamba tawanan
Yang bertelut gementar… menanti hukuman
Labaiklallah humma labaik!
Hambamu datang ya Allah…
Dengan hias rohani
Di cermin matahati katakan pada diri:
Aku tidak punya apa-apa
Harta, keluarga dan milik Mu jua
Asalku hanya dari titisan air yang hina …
Jahil, miskin, lemah dan tidak berdaya…
Namun Hambamu datang jua ya Allah…
Labaikallah humma labaik
Aku datang wahai Tuhan
Aku datang… menyahut panggilan

Tuluskan niat kita ketika memulakan
Haji ini, ibadah ini…
Bukan untuk ihsan manusia
Bukan lanjutan urus niaga
Pun bukan kerana riak dan bangga
Tetapi benar-benar kerana kita hamba
Yang mengharap wajah dan keredhaan-Nya

Niat yang suci itu perisai hati
Menangkis kelalaian sepanjang destinasi
Ikhlas itu sangat maknawi
Namun kesannya zahir pada diri

Ikhlas melahirkan sabar…
Sabar kita dengan karenah insan
Demi mengharapkan rahmat Tuhan
Ikhlas melahirkan syukur…
Syukur dengan ruang yang sempit
Demi mengharap keampuan yang melangit

9 Zulhijjah…wukuf di Arafah
Dalam himpunan terbesar gambaran Mahsyar
Tiada bezanya derjat dan pangkat
Yang kaya atau melarat
Semuanya tenggelam dalam dalam zikir dan munajat

10 Zulhijjah… bermalam di Mudzalifah
Talbiah, tasbih dan selawat
Bangsawan, hartawan, marhein dan miskin
Segalanya sama seputih kain
Moga-moga perrhimpunan ini menginsafkan
Hanya taqwa… nilaian Tuhan

Tuhan tidak menilai rupa
Tuhan tidakmenilai harta
Tuhan hanya menilai hati
… hati yang bertaqwa kepada-Nya

11, 12, 13 Zulhijjah…
bermalam di Mina melontar 3 Jamrah
Genggam butiran batu itu dengan tangan kita
Tapi lontarkan ia dengan satu rasa
Di Jamrah itu kita perangi musuh Allah
Simbolik satu kebencian
Metafora sebuah peperangan
Melawan syaitan dalam kehidupan
Nyahkan ia jauh-jauh…
Perangi ia sungguh-sungguh…
Usah berpaling lagi
Pada bujukannya… kita tak sudi!

Nun di sana kelibat Kaabah mula menyapa
Rindu tiba-tiba semakin membara
Hati hiba tanpa diminta
Tanda disedari mengalir air mata kita
Oh! situ pernah melutut Ibrahim
Di situ pernah sujud Ismail
Dan di situ pernah menangis Muhammad SAW
Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali…

Bagaikan ‘melihat’ wajah Allah
Di hitam warnanya ada nur kesucian
Langkah kian cepat… kian mendekat
Tawaf, tawaf, tawaf tujuh pusingan
Tiga pertama bagaikan lari dari dosa…
menuju pahala
Empat yang kedua lepas dari kesalahan…
menuju pengampunan

Lambaian istilam tanda kerinduan
Dikucup tangan tanda kecintaan
Tuhan cintaku hanya pada-Mu…
Walaupun cinta itu sering terganggu!

Bawalah hati yang lara di Safa dan Marwah
Saie ke sini ke sana bagai seorang sandera
Cemas bila dirasuk azab…
Tenang seketika dibujuk harap…
Ke sana khauf…
ke sini raja’…
Bimbang tenang berulang datang
Bagai gelombang tanpa tepian

Oh! Tuhan siapakah diriku
pada pandangan-Mu?

Kepalamu kau cukur
Helaian rambutmu pun gugur
Luruh bersama simbolik dirimu yang lalu
Kini bangun dirimu yang baru

Bukan sekadar membunag setipis rambut…
tetapi mengungkai fikiran yang berkabut
Bukan sekadar membersih kepala…
tetapi hakikatnya menjernih minda

Itulah rahsia tahallul
Meninggalkan diri yang kotor
Hijrah ke dunia yang luhur!

Di Madinah… di masjid Nabawi
Hati kita kan tersentuh oleh imbauan azannya
Terbayang sejarah anak yatim yang kesepian
Terbayang gembala kecil di padang pasir
Luka kakinya di Taif
Hilang kesayangannya di Badar
Gugur giginya di Uhud
Atap rumahnya dicecah jari
alas tidurnya berbekas di badan

Sujudlah, bertelekulah di situ
Tunduk malu di makam nabi
Di sana tersimpan jasadnya yang mulia
Rasul yang tak pernah jera berkorban…
Demi umatnya
Tega baginda pada semua derita

Hayatilah betapa malunya Rasul di Masjid Qiblatain
Ingin merayu tapi lidahnya kelu
Qiblat itu hak Tuhan…
tak layak dirinya memohon pertukaran
Namun Tuhan Maha Mengetahui resah di hati Rasululah
Lalu beralihlah qiblat dari Masjidil Aqsa… ke Baitullah
Rintihan Rasul-Nya terjawab sudah

Di Badar kita diajar bertawakkal
Betapa golongan sedikit bisa mengalahkan golongan yang ramai
Tetapi bila disiplin robek godaan harta
Uhud mengingatkan kita pada sebuah alpa
Pada batu-batu yang terdampar di kuburan Baqie
Terimbau deretan sahabat bagaikan bintang di langit

Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini
Jika segalanya dilihat dengan matahati
Jiwa akan kukuh disepuh iman
Akal akan bersih disuluh iktibar
Fizikal akan kuat menempuh kesusahan

Haji kemuncak ajaran Islam
Haji kemuncak mehnah dan ujian
Padanya tersimpan rahsia kekuatan
Sudahkah terserlah apa yang tersimpan?

Bertamu tak jemu…
Berpisah tak gelisah…
Kenangan di Makkah dan Madinah
Adalah bekal safar abadimu…
bertemu Allah!



sumber : drp blog ustz Pahrol Mohamad Juoi dan Dr Azwan.

1 comments:

Al Quds Travel said...

Al Quds Travel Welcome You :-

"AL QUDS TRAVEL FAIR 09"
Date : 10,11,12 December 2009
Time : 10.30 am - 10.00 pm
Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
Official Radio : THR Gegar FM
Tel No : 609-747 9999

Diskaun hebat untuk semua
pakej pelancongan!!!

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates