Monday, December 20, 2010

Perutusan Maal Hijrah 1432


Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..”
– Surah an-Nahl 16: 41-42.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumi-Nya ini. Kini kita menyambut tahun baru 1432 Hijrah maka setahun lagi usia kehidupan kita bertambah. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Sesuai dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, maka ada baiknya kita memperingati Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan ia selari dengan perintah al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Firman Allah SWT :

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”
- Surah Yusoff 12:111.

Justeru, memperingati Peristiwa Hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimana pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini seperti mana di perintahkan oleh Allah SWT.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam sebenar yang mengambil kira soal dosa dan pahala. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semua aktiviti hidup kita agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT. Insya-Allah, jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, maka kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Semoga kehadiran tahun 1432 Hijrah ini memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan demi memartabatkan ketuanan Islam dalam kehidupan kita di dunia menuju akhirat.
Sekian.

- MEMBANGUN BERSAMA ISLAM -
* KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN *

Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 1 Muharam 1432H / 7 Disember 2010M Baca Selengkapnya..

Friday, December 17, 2010

Kisah Cinta Hatib Dan Ummi Qais (Niat kerana....)‏






Sekali peristiwa, diceritakan bahawa ada seorang sahabat yang bernama Hatib telah mencintai seorang gadis rupawan yang bergelar Ummi Qais. Sebagai kebiasaannya orang yang bercinta, Hatib berusaha agar si gadis itu dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummi Qais sewaktu mereka sama-sama berada di Makkah lagi, akan tetapi, oleh kerana kemalangan nasibnya, gadis itu telah menolak peminangan Hatib. Kemudian Ummi Qais pun berhijrahlah pula bersama-sama orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah.

Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Hatib, dia merasa amat berdukacita. Oleh kerana terlalu merindukan Ummi Qais, Hatib lalu mengambil keputusan untuk berhijrah menjejaki langkah Ummi Qais ke Madinah, dengan harapan agar dia dapat memikatnya dan memujuknya semula sewaktu di Madinah nanti.

Jadi nyatalah sudah bahwa hijrahnya Hatib itu bukanlah semata-mata kerana tujuan asal berhijrah ke sana; iaitu untuk mencari tempat perlindungan bagi agamanya. Tetapi di sebalik itu, ada maksud yang lain yang lebih diutamakannya; iaitu moga-moga ia dapat menukar keputusan Ummi Qais yang lalu dan moga- moga Ummi Qais akan menerimanya pada kali ini, sebab hatinya sangat sayang dan mencintai Ummi Qais.

Cerita hijrahnya Si Hatib sepenuhnya telah disampaikan kepada pengetahuan Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Oleh kerana itulah, maka Hadith ini telah disabdakan, iaitu:

"Hanyasanya amalan-amalan itu adalah bergantung dengan niat-niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia (sebab- sebab keduniaan) yang ia ingin memperolehinya, ataupun kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya." [Bukhari & Muslim]

Maksudnya: Tiadalah ia mendapat pahala apa pun dari hijrah yang telah ia lakukan itu. Sebab orang lain berhijrah membawa dirinya dan agamanya agar terselamat dan fitnah kekufuran yang mengancamnya di negeri Makkah, semata-mata kerana mentaati perintah Allah dan RasulNya. Akan tetapi maksud utama hijrah Hatib ada yang lain; iaitu keinginan hati untuk menawan Si gadis kecintaannya, sebab itu Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam telah mencelanya secara tidak langsung dengan menyabdakan Hadith tersebut di atas tadi.

Bagi kita kaum Muslimin yang mengikuti cerita Hatib tadi, janganlah dianggap celaan itu hanya ditujukan untuk Hatib seorang saja. Bukanlah itu yang dimaksudkan. Akan tetapi di sebalik peristiwa Hatib itu ada pengajaran lain yang harus kita perhatikan, supaya kita tidak menjadi seperti Hatib pula, sehingga celaan itu akan menimpa kita sama.

Dalam menjalankan perintah-perintah agama, janganlah hendaknya kita menyaingi ibadat-ibadat kita itu dengan kerja-kerja lain yang berkaitan dengan keduniaan. Misalnya ibadah Haji. Ada orang yang menyaingi ibadat Hajinya dengan kerja-kerja keduniaan, seperti berniaga sewaktu dalam perjalanan ke Haji, atau dalam musim Haji, kerana keuntungannya berlipat-ganda ketika itu. Ataupun orang itu sengaja menawarkan dirinya untuk menguruskan hal-ehwal orang-orang Haji tentang keperluan-keperluannya dalam perjalanan atau sewaktu mengerjakan Haji itu, sebab seolah-olah dia bekerja dengan bakal-bakal Haji itu, dan mungkin sekali semua wang pelayarannya pun dikutip dan berasal dari bakal-bakal Haji itu samada sebagai komisen ataupun faedah pekerjaannya, yang kalau tiada kerana itu,tiadalah ia akan berangkat sama untuk menunaikan Hajinya. Amalan yang serupa ini tentu sekali tiada sepenuhnya tertumpu pada Pekerjaan ibadat terhadap Allah. Oleh kerana itu dikhuatiri tidak ada gunanya dan tidak ada pahalanya dari Allah subhanahu wa ta`ala.

Lain-lain misalan dalam perkara yang sama banyak sekali, dan semuanya adalah bergantung kepada niat masing-masing pelakunya. Maka hendaklah kita sentiasa waspada dalam hal ini, supaya ibadat-ibadat kita tiada dikongsi dengan amalan-amalan keduniaan, yang nyata sekali ditegah oleb agama, seperti dalam Hadith Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam tersebut di atas.

Untuk menentukan samada ibadat kita itu 100% kerana Allah atau tidak, tanyalah diri kita sendiri secara jujur dan bukan secara helah atau putar-belit, nescaya kita akan mendapati jawapannya yang betul. Seterusnya, Hadith ini, walaupun ditujukan khas kepada Hatib kerana niatnya yang telah menyeleweng dari tujuan asalnya, namun hukumnya umum ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin, walaupun sebabnya yang pertama kerana Si Hatib tadi. Sebab Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam tidak pernah menujukan sesuatu kecelaan atau kemarahannya terhadap seseorang yang tertentu. Bahkan pengisytiharannya sentiasa umum untuk menjadi pengajaran kepada kaum Muslimin yang lain.Selain itu, Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam adalah pemalu orangnya dan tidak pernah menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi untuk membocorkan rahsia orang di hadapan khalayak ramai, itu tentulah jauh sekali.

WaAllahu A'lam...

sumber rujukan:["Kuliah Subuh" oleh Syed Ahmad Semait - kitab rujukan: "Matnul-Arba'in an-Nawawiyah" oleh Imam Nawawi dan "Fathul-Mubin Li-yarhil Arba'in" oleh Ibnu Hajar] Baca Selengkapnya..

Syair Uzlah


Syair ini gubahan Imam Al-Ghazai bagi menggambarkan sifat dan tabiatnya:

Cita-cita mereka yang menuntut taqarub kepada Tuhan telah berhasil dan telah sampai kepada tujuan, maka berbahagialah kekasih menemui kekasih.

Tinggallah kita terombang ambing kebingungan antara sampai dan belum.

Kita hanyalah mendekati hamba, padahal taqarrub kepada Allah adalah suatu perkara yang mahal harganya, demikian ini adalah menurut fikiran yang sihat.

Berilah kami siraman yang dapat melenyapkan rasa bingung dan menunjuk kepada jalan yang benar dan lurus.

Wahai doktor, balutlah luka-luka agar aku dapat diselamatkan dari penyakit parah.

Aku tidak tahu apakah aku harus mengubati penyakitku dan dengan apa aku dapat keuntungan daripada hisab.

Rujukan: Kitab Minhajul Abidin- Imam Al-Ghazali Baca Selengkapnya..

Akan kujumpa...


Malam itu aku denganMu,
Mencari Kasih abadi,
Yang dapat menyinariku sepanjang hidup,
Yang dapat menawar segala lara,
Yang bisa menggembira dan menenangkan hatiku,
Sekian lama ku lupakan diriMu,

Tapi aku juga lemah,
Tak layak rasanya untuk memilikiMu,
Namun, tanpa diriMu
Aku tak mungkin dapat hidup
Kau yang beri cinta ini,
Kau yang kekalkannya,
Tiba-tiba aku yang robekkannya,

Cukup hanya sekali aku pernah berpaling dariMu,
Biarkan aku denganMu,
Biar aku selalu menemaniMu untuk berbicara,
Biar aku selalu bersamaMu,
Biar semua orang membenciMu,
Asalkan aku bahagia disampingMu,

Cinta..
Jangan pernah tinggalkanku lagi,
Aku tak terdaya tanpaMu,
Menagih kasih suci,
Aku tak ingin mencemarkannya kembali,

Biar cinta mekar di hati,
Biar aku rasai rindu itu,
Biar diriku tenang dengan adanya Kamu,
Kerana ku tahu Kamu merinduku jua,
Abadikanlah cinta ini hingga hujung nyawa
di akhir sana... Baca Selengkapnya..

Thursday, December 2, 2010

..Ruh dan pemikiran...



Bercakap mengenai ruh..manusia secara fitrahnya dilahirkan dalam keadaan bersih dan suci ibarat kain putih.Sejak Allah meniupkan ruh di dalam rahim ibu kita lagi,kita sudah pun mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah.Namun setelah ruh bergabung dengan jasad,ruh mulai terpengaruh dengan keadaan persekitaran dan orang sekeliling.Ruh berada dalam dilemma,antara 2..kebaikan atau kejahatan..ruh yang mendapat tarbiyah yang baik bakal memberi manfaat kepada seluruh isi alam dan begitulah sebaliknya..

Dan bercakap mengenai psikologi atau pemikiran,bagi saya..psikologi seseorang sangat dipengaruhi oleh persekitaran semasa kanak-kanak..ramai orang yang makan dahulu garam bercakap bnda yang sama..sebagai contoh,jika seorang perempuan yang semasa kecilnya dikelilingi ramai adik-adik dan saudara lelaki,tidak mustahil sedikit sifat kelakian itu ada padanya dan begitulah sebaliknya.Contohnya,seorang perempuan akan bertindak mencuba sesuatu di luar kebiasan seorang perempuan.Semuanya,kerana dia melihat orang-orang sekeiling yang rapat dengannya bekerja dan menguruskan kehidupan ini.

Saya sendiri dikapit oleh 2 bodyguard dalam keluarga,sedikit sebanyak terkesan dengan persekitaran semasa kecil.Pernah ditanya oleh seorang sahabat sewaktu saya memandu kereta,"Yuni ni mesti suka main game laki2 masa kecil kan"?.Hmm,tapi adakah lelaki sahaja yang biasa drive laju dan perempuan memang sangat biasa drive slow?Pelik dengan pemikiran sebegini sebenarnya.Padahal,sekarang terlalu ramai lelaki yang sangat suka bersembang melebihi kaum hawa kerana faktor persekitarannya yang dikelilingi oleh adik beradik perempuan yang ramai mungkin.

Perempuan dan cermin/hiasan manakala lelaki dan bola sepak/kereta sport satu benda yang natural tapi apabila keadaan berlawanan,adakah itu satu yang pelik?Bagi saya,tidak sama sekali kerana ia adalah satu keadaan di mana minat itu terbentuk dengan sendiri dengan faktor persekitaran yang mempengaruhi.Sememangnya sewaktu kecil,saya suka bermain dengan abang,adik lelaki dan saudara2 lelaki kerana cara dan sikap mereka tidak macam budak perempuan yang selalu menangis kalau terkasar sedikit.Namun begitu,secara fitrah,jiwa perempuan itu seperti kaca,mudah retak dan pecah jikalau tidak kena gaya.Dalam sirah,Rasulullah pernah mengatakan salah seorang isterinya yang sedang menaiki unta ibarat botol kepada penarik unta,jadi,perlu berhati-hati pesan Rasulullah kepada Penarik unta itu.Berlainan dengan lelaki yang bukan berjiwa perasaan tetapi berjiwa kepimpinan,yang melihat sesuatu dengan akal bukan dengan emosi.Sebab itu lelaki berperanan menjadi ketua keluarga.

Sewaktu kecil,macam-macam benda adventure dicuba.Jiwa kanak-kanak memang sentiasa mencuba dan jiwa remaja selalu teruja dengan benda yang baru.Lelaki dan perempuan sangat berbeza akan bentuk pemikiran dan keinginan.Saya tidak setuju jikalau ada diskriminasi kemahiran dan ilmu antara lelaki dan perempuan sedangkan Allah suka hambaNya menuntut ilmu dan mempelajari sesuatu yang boleh membawa kebaikan bersama tidak kira pekerjaan itu susah mahupun senang.Namun kudrat wanita itu lemah dan memang tidak dapat dibandingkan dengan kudrat lelaki yang Allah anugerahkan.

Dari kecil sehingga remaja dan kini meningkat dewasa,tidak mustahil minat seseorang semasa kecil akan berubah seratus peratus kerana faktor keutamaan individu itu terhadap sesuatu yang lebih penting seperti kerja,keluarga dan lain-lain menyebabkan kurangnya masa yang disumbangkan kepada hobi atau minat.Tiada yang mustahil,namun mungkin ada sedikit sifat di luar kebiasaan yang sepatutnya tidak dimiliki oleh suatu golongan.Contoh,sifat terlalu berani..Lelaki sewajarnya memiliki sifat ini kerana mereka bakal menjadi ketua keluarga namun perempuan ,jika terlebih berani ia akan menjadi satu fitnah.Contoh,seorang perempuan yang keluar pada larut malam seorang diri tanpa tujuan yang mendesak bakal mengundang jiwa-jiwa jahat yang memerhati.Ingat pesanan seorang ibu 'kakak,jangan terlalu berani sangat,nanti kalau jadi apa-apa kan menyesal tak sudah'..Agak gerun bunyinya namun apabila keadaan mendesak dan selepas menimbang nimbang dari segi fiqh aulawiyat,perasaan gerun itu dikorbankan kerana keyakinan kepada Allah itu yang paling penting.


Itulah nikmat yang Allah anugerahkan kepada setiap hambaNya yang berfikir..Masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing dan bergantung pada kita samada kita gunakan ke arah kebaikan atau pun kerosakan.Ruh yang bersih akan melahirkan pemikiran yang baik.Tidaklah Allah menciptakan langit dan bumi dan segala isinya dengan sia-sia..Ingatlah,janji Allah akan hambanya yang sanggup mengorbankan jiwa dan hartanya demi kepentingan agama Allah bakal memperoleh syurga yang indah,tidak kira leleki atau pun wanita..InshaAllah..n__n Baca Selengkapnya..

Template by:
Free Blog Templates