Wednesday, March 2, 2011
Gerakan Mahasiswa Mandom?
Pandangan berkenaan artikel ini?
Oleh: Izmil Amri Ismail
Ini bukan laporan pilihanraya kampus. Ini juga bukan pembentangan statistik tentang berapa ramai yang turun mengundi, atau siapa yang mereka undi serta apa sebab-sebab mereka mengundi calon yang mereka undi. Ini bukan reviu perjalanan pilihanraya kampus 2011. Ini pastinya juga bukan ucapan takziah bagi yang telah menang, mahupun suatu usaha untuk menjelir lidah kepada yang kalah. Ini bukan semua itu.
Pada subuh hari 9 Mac 2008, rakyat Malaysia membuka mata dengan dada yang sesak penuh harapan baru. Tsunami politik yang tidak disangka-sangka merentap kubu-kubu Barisan Nasional dari bawah batang hidung mereka. Yang paling tidak disangka, Selangor turut sama disentap, seolah menyentap bantal empuk dari bawah kepala seorang yang sedang tidur lena. Tsunami politik itu terhenti di daerah-daerah Selatan. Kesannya dirasa sampai ke pinggiran Negeri Sembilan. Rakyat Malaysia menarik nafas lega, dan UMNO akhirnya memandang sama sendiri dan mula menuding jari.
21 Februari 2011, hawa yang lebih kurang serupa dirasai hampir di seluruh kampus utama tanah air. Keputusan lengkapnya boleh diperoleh dari kebanyakan perkhidmatan berita. Fokus khas turut diberi kepada Universiti Kebangsaan Malaysia, yang pada tahun sudah menyaksikan pertembungan dan asakan hebat antara mahasiswa dan pentadbiran universiti. Universiti Kebangsaan Malaysia tumpas kepada iradat mahasiswa dan mengangkat suatu saf pimpinan yang mendakwa diri mereka ini menjunjung ketuanan mahasiswa.
Hawa yang sama turut dirasai di Lembah Pantai. Walaupun ada calon yang ‘hilang’, mahasiswa tetap tidak berganjak dari keputusan untuk mengangkat pihak-pihak yang telah berikrar untuk mengangkat martabat mahasiswa dari status ‘budak universiti’ seperti yang selalu disebut pentadbiran. Universiti Malaya juga melalui episod sedih yang lebih kurang sama sekitar pilihanraya kampus tahun lalu. Maka giranglah hati dan menitis air mata kesyukuran.
Kegirangan serupa turut dirasai di Gombak. Sejumlah besar calon yang berani bertingkah dengan kebijakan dan norma pentadbiran telah menang tanpa bertanding. Justeru meletakkan perkumpulan mereka itu dalam kemampuan membentuk kerajaan di UIA dengan hanya mengusahakan beberapa kerusi sahaja lagi. Di UIA, Pro Mahasiswa menang selesa. Tanpa banyak pertembungan, selain insiden-insiden simbah cat dan propaganda biadap seperti tahun-tahun lalu juga.
Namun memandangkan ini bukan tulisan yang mahu menyorot dan meraikan kemenangan Pro-Mahasiswa, maka mereka yang menang ini tidak akan menerima ucap tahniah. Malah mereka sebenarnya harus insaf dengan keadaan dan bertaubat.
Gerakan mahasiswa, pasca penggubalan AUKU dilihat sebagai suatu gerakan yang berbahaya. Apa sahaja inisiatif untuk menghidupkan suasana reaksioner daripada pihak mahasiswa diputuskan sebagai inisiatif yang subversif dan lantas tidak bersetuju dengan lunas undang-undang. Maka gerakan mahasiswa dilabel jenayah. Penggerak-penggeraknya pula punya kelaziman ditahan aparat keselamatan atas tuduhan yang janggal belaka. Walaupun janggal, kita dapati ‘trend’nya serupa.
Trend yang dimaksudkan adalah: Gerakan Mahasiswa, mesti reaksioner, mesti demonstrasi, mesti buat drama politik dan mesti pernah kena tahan lokap. Trend ini harus berhenti. Trend ini sudah lapuk dan mesti diperelok mengikut perkembangan zaman. Trend yang kekal malar dari zaman ke zaman akan menjadi adat yang akhirnya tidak membenarkan perubahan dan percambahan kreativiti. Justeru gerakan mahasiswa menjadi mandom, bak kata orang Pulau Pinang.
Mandom ini adalah penyakit. Mandom ini wabak yang menular dan payah lekang apabila sudah tidak ada benda yang boleh dikerjakan. Orang yang mandom adalah orang yang akan dikesampingkan apabila orang yang cergas dan proaktif lebih menonjol dan mengusahakan perubahan yang lebih menarik.
Jika kita menyorot garis masa gerakan mahasiswa pasca zaman Reformasi, kita akan terjumpa tokoh-tokoh kampus yang sangat hebat kepemimpinannya pada zaman mahasiswanya. Saya tidak mahu sebut nama. Namun yang penting, senarainya panjang. Senarai yang panjang ini selalunya akan digasir dengan kehadiran graduasi, pekerjaan dan anak isteri. Bukanlah graduasi, pekerjaan dan anak isteri itu sesuatu yang buruk. Cumanya, jadi mandom disebabkan faktor-faktor itu. Sepatutnya tidak begitu.
Mahasiswa Malaysia sebenarnya harus proaktif dan bukan menanti bola tanggung yang entah bila kan kunjung tiba. Menanti pertimbulan isu untuk dilihat hebat dan reaktif ini adalah ibarat memancing di bawah jambatan. Ada masanya dapat habuan. Ada masanya ikan hanya melompat-lompat di sekitar umpan. Justeru mahasiswa tidak harus sekadar reaktif, tetapi mengusahakan sesuatu yang lebih baru dan revolusioner.
Ide revolusi ini tidak semestinya dengan menangkat senjata atau berhimpun ramai-ramai melaungkan slogan-slogan kemarahan. Revolusi itu sebenarnya cetusan-cetusan yang bertentangan dengan norma dan kebiasaan. Sakitnya mahasiswa hari ini ialah kurangnya usaha untuk memulakan sesuatu tanpa motivasi. Seolah pahat dengan penukul, sekali ketuk, sekali jalan. Seolah kempen Pilihanraya Kecil, selagi tak ada ADUN meninggal dunia, tak berturaplah jalan FELDA.
Trend reaksioner ini sudah membarah sejak puluhan tahun lampau. Mahasiswa sebagai jurubicara rakyat hanya menanti bila ada kerunsingan dan kesusahan maka baru boleh bergerak. Ini sangat merugikan. Gerakan mahasiswa sudah terlalu lama menjadi pembangkang dan tidak akan pernah punya mentaliti pemerintah. Ia tidak pernah (atau mungkin jarang sekali) mempertimbulkan usul-usul untuk diperdebatkan, atau ide-ide untuk dibawa ke depan. Trend membangkang semata-mata ini adalah trend gerakan. Dan trend ini tidak membawa mahasiswa ke mana-mana.
Kemenangan Pro Mahasiswa di kebanyakan kampus utama merupakan fitnah kepada gerakan. Sungguhpun menjadi pendapat umum bahawa kemenangan Pro Mahasiswa di kebanyakan kampus adalah kerana perubahan tampuk pemerintahan HEP dan perubahan-perubahan minor kepada polisi pilihanraya kampus yang dilihat lebih baik, tetapi hakikatnya kekal: Demokrasi tidaklah mati atau tidur seperti yang didakwa ramai. Demokrasi hanya sekadar telah berjaya dimanipulasi oleh sesetengah pihak. Pro Mahasiswa juga telah berjaya mempergunakan sistem demokrasi dengan baik dan matang. Walaupun ada pihak-pihak yang akan sedaya upaya menafikan kematangan itu.
Kejadian di UPM bukan tercetus atas ketidakmatangan. Malah sebaliknya. Sifat reaksioner mahasiswa itu, ditambah dengan tekanan yang diberikan memang secara fitrahnya akan membuahkan kemarahan. Lihat sahaja kebangkita-kebangkita rakyat di Tunisia, Mesir, Bahrain, Yaman dan kini di Libya. Agak dangkal sebenarnya kalau refleks rakyat yang dizalimi itu dikatakan tidak matang. Siapa sahaja yang dizalimi akan bertindak balas secara otomatis. Tambah-tambah apabila tidak ada ruang diplomasi. Ruang diplomasi dihadang pintu kaca dan barisan pengawal keselamatan, serta gerombolan Cawangan Khas yang sangat ekeftif menjana provokasi dan kemarahan.
Namun yang jelas adalah perubahan itu tidak boleh dihadang-hadang. Perubahan yang dihalang hanya akan menatijahkan perubahan yang lebih keras dan memaksa. Perubahan juga tidak boleh dinanti. Gerakan Mahasiswa seharusnya lebih terkedepan dan penjadi pencetus persoalan dan perubahan, bukan sekadar jadi mangkin yang memeriahkan suasana. Kemenangan Pro Mahasiswa pada tahun ini, seharusnya menjadi titik tolak kepada pembaharuan total kepada mind-set dan gerak kerja mahasiswa ke arah negara dan masyarakat yang lebih baik. Bukan hanya untuk dibanggakan dan dibuat bahan sejarah, setelah gagal buat kerja dan kemudian digulingkan tahun hadapan.
Maka takziah. Ingatlah bahawa ini semua fitnah dan taklifan.Bersabarlah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam. dari mana enti dapat artikel ini? boleh bagi link? seingat ana, tak pernah publish pun di mana2.
w'salam..ana ambil di FB Gamis,ada orang share..mungkin orang tu ambil di blog nta,saudara teddy..minta maaf jika tdk minta izin terlebih dahulu..ana nampak penulisan nta tentang gerakan mahasiswa realistik n bagus..Harap Halalkan ye.
Syukran
Post a Comment