Saturday, April 16, 2011
Berjuang Tidak Sekadar Pilihanraya
1. Perjuangan kita tidak sekadar pilihanraya. Justeru itu, janganlah kita bertindak, bertugas, bekerja atau lebih jelas saya sebut, berjuang hanya pada musim pilihanraya. Sebaliknya pilihanraya itu hanyalah menepati sebahagian dari tugas wajib yang perlu kita lakukan. Ertinya di sana masih terlalu banyak perkara yang mesti kita lakukan bagi melengkapkan amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam yang kita dokong ini.
2. Sejurus selesai pilihanraya umum 2008, saya akui kita terpaksa sibuk dengan pilihanraya kecil. Kita hadapi 16 pilihanraya kecil dan saya secara peribadi berharap tiada lagi pilihanraya kecil sebelum kita menghadapi pilihanraya umum akan datang insyaallah, kecuali kita telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya Negeri Sarawak dan mungkin juga serentak dengan Negeri Perak.
3. Bukan kerana penat atau jemu lantaran prinsip kita berjuang ialah " sehingga Islam tegak berdaulat atau aku mati kerananya" , tetapi kerana bimbang kita hilang kesimbangan antara :
tumpuan masa mengendali strategi dan operasi untuk memenangi pilihanraya dan
tumpuan untuk mengkaderkan anggota jamaah agar layak dan menepati piawaian sebagai ansoorullah [ pejuang - pejuang agama Allah swt ].
4. Sebagai sebuah Gerakan Islam yang melibatkan diri secara rasmi dipentas politik di negara kita, kedua - kedua aspek tersebut sangat penting dan perlu diberi tumpuan seimbang. Pincang salah satu darinya, membuatkan kita hilang keseimbangan dan mudahlah kita tersungkur meskipun kita mendokong kebenaran.
5. Ambillah masa seketika yang kita miliki ini sementara hadhir pula detik pilihanraya selepas ini untuk kita memantapkan sekurang - kurangnya 3 perkara asas :
Pemantapan fikrah Islami yang syumul
Pengukuhan dan pemerkasaan parti [ organisasi ]
Pembinaan sumber manusia [ murabitun - ahli atau pimpinan ]
6. Ianya mesti bermula disemua peringkat organisasi parti. Bermula dengan pusat, negeri, kawasan , cawangan dan dewan - dewan disemua peringkat. Secara kebetulannya, parti kini sedang menghadapi mesyuarat agong di peringkat kawasan sebelum kemuncaknya muktamar di peringkat pusat pada bulan june ini. Mesyuarat agong dan muktamar tahun ini pula adalah tahun pemilihan.
7. Saya mengharapkan 3 perkara utama yang saya sebutkan diatas menjadi asas perbahasan dan muhasabah anggota parti selain membahaskan prestasi dan potensinya dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Juga menganalisa performance saff kepimpinan parti. Pencalonan dan pemilihan pimpinan parti mestilah diserah kepada mereka yang benar - benar mewarisi prinsip asas keupayaan pemimpin seperti :
amanah terhadap tanggungjawab,
setia kepada perjuangan Islam,
memiliki wibawa dan karisma yang menepati kehendak Islam
bekerja keras untuk memantapkan fikrah dan syakhsiyah Islam.
8. Hindarilah dari terjebak dalam sebarang bentuk konspirasi yang merosakkan keutuhan jamaah dan kesatuannya. Sebaliknyabantu jamaah agar ia semakin mantap dan kuat bersendikan ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh. Bukan menyusahkan jamaah dan mengkucar - kacirkannya dengan idea dan tindakan yang tidak menepati akhlak Islami.
9. Tidak dinafikan, antara perkara yang perlu jua diberikan tumpuan ialah mencari formula baru dan efektif guna menangkis segala tohmahan dan fitnah jahat dari musuh yang sememangnya mahu melemahkan jamaah dan memisahkan jamaah dari rakan - rakan parti kompenan dalam Pakatan Rakyat.
10. Kita mesti berfikir positif jika kita mahu jamaah yang kita dokong ini maju dan tabah meredah zaman yang semakin kompleks namun zaman ini memerlukan bahtera penyelamat. Fikir positif pada nokhtah - nokhtah di bawah insyaallah, sedikit sebanyak akan membantu jamaah kita mara selangkah kehadapan.
Jangan kecewa dan melatah kerana kalah pilihanraya.
Usah resah berdepan fitnah dan tohmahan musuh.
Segera selesaikan masaalah yang dihadapi oleh jamaah.
Bantu dan beri kepercayaan kepada pemimpin yang dipilih.
Hidupkan budaya tegur dan nasihat namun beradab.
Pamerkan akhlak Islami kepada kawan dan lawan.
Asaskan tindakan berpandu wahyu dan sunnah.
Senantiasa berfikir dan merangka strategi
Santuni masyarkat dan menangi hati mereka
dan banyak lagi ....
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment