Thursday, September 29, 2011

Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan

Tajuk: Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan.
Tajuk asal: al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd.
Penulis: Syaikh Yusuf al-Qaradhawi.
Penerbit: Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2003
Pengedar: Pustaka Indonesia (03-2692 3940, 03-2698 1742)
Harga: RM 43.80 (6.25 by 9.5 inci, 430 ms).

Setiap insan di dalam perjalanan mereka menuju kedewasaan pasti akan melalui beberapa peringkat hidup bermula daripada bayi kepada kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa. Setiap peringkat ini memiliki ciri-cirinya yang tersendiri. Bayi sentiasa perlukan penjagaan, kanak-kanak asyik bermain, remaja sentiasa bersemangat manakala dewasa bersifat matang lagi cermat.


Demikianlah juga dengan gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini. Alhamdulillah, gerakan ini kini sudah mula kelihatan dan dirasai di seluruh pelusuk dunia, sama ada di negara yang majoritinya Islam atau bukan Islam. Akan tetapi jika dianalisa dengan mendalam, boleh dikatakan bahawa gerakan kebangkitan ini lebih memiliki ciri-ciri bersemangat daripada berilmu, bersifat terburu-buru daripada bertenang, bersifat cuai daripada cermat dan bersifat baru daripada matang. Dalam ertikata lain, gerakan kebangkitan Islam mutakhir ini lebih mirip kepada ciri-ciri remaja yang dalam perjalanan menuju kedewasaan.

Inilah analisa Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dan di atas analisa inilah beliau menulis buku yang khas bertujuan membimbing gerakan kebangkitan yang bersifat remaja ini ke arah kedewasaan yang sepenuhnya. Dalam bimbingannya ini Syaikh al-Qaradhawi telah menggariskan sepuluh poin utama, iaitu:

Pertama: Beralih daripada format dan simbol kepada hakikat dan kandungan. Pada zahirnya kelihatan gerakan kebangkitan Islam hanya menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang mencorakkan simbol dan meninggalkan isi kandungannya yang jauh lebih penting. Umpama seseorang yang selalu membesar-besarkan kedudukan jari telunjuk di dalam bacaan tasyahud solat tetapi di waktu yang sama meninggalkan perbincangan tentang sebab, tujuan dan kepentingan tuntutan solat itu sendiri secara keseluruhannya.

Kedua: Beralih daripada perdebatan kepada perbuatan. Sebahagian gerakan Islam gemar membakar tenaga mengungkit kesalahan dan kelemahan gerakan yang lain. Di waktu yang sama gerakan itu sendiri tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat secara menyeluruh kepada Islam dan umatnya. Sikap sebegini perlu berubah. Tenaga dan masa seharusnya dibakar demi manfaat Islam dan umatnya manakala apa-apa kelemahan atau kesalahan gerakan lain seharusnya dibetulkan secara positif.

Ketiga: Beralih daripada sikap emosional kepada sikap ilmiah. Kerana semangat yang berlandaskan emosi tanpa kematangan yang berlandaskan ilmu, didapati sebahagian gerakan Islam cenderungkan mengkritik, melabel dan menghukum sesama umat Islam tanpa berlandaskan ilmu yang sebenar. Bahkan di dalam tindakan itu sendiri jelas terserlah sifat-sifat kejahilan yang keamatan. Sikap sebegini perlu berubah, seharusnya semangat itu didirikan di atas ilmu atau sekurang-kurangnya selari dengan tahap ilmu.

Keempat: Beralih daripada sikap menumpukan perhatian dalam masalah cabang kepada masalah pokok. Seringkali gerakan Islam menumpukan perhatian hanya kepada masalah cabang, seperti membaca Basmalah dengan kuat atau perlahan di dalam solat berjamaah tetapi diwaktu yang sama meninggalkan masalah pokok, seperti orang yang yang tidak bersolat jamaah langsung. Seharusnya gerakan Islam memberi tumpuan yang mendalam kepada masalah pokok dan bersikap toleran dalam masalah cabang. Apa guna mengukuhkan cabang jika pokoknya sendiri amat lemah ?

Kelima: Beralih daripada sikap menyulitkan kepada sikap memudahkan. Islam adalah agama yang sentiasa berciri-cirikan kemudahan. Akan tetapi sayang sekali sebahagian gerakan Islam memiliki ciri-ciri menyulitkan sehingga menyebabkan banyak orang menjauhi Islam, umpama mereka ada yang memaksa seseorang yang baru hendak memeluk Islam dengan amalan bersunat padahal amalan ini bukanlah sepatutnya menjadi agenda pertama di dalam dakwah kepada kaum bukan Islam.

Keenam: Beralih daripada sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan pembaharuan. Di antara gerakan Islam masih ada yang berpendapat bahawa pintu-pintu ijtihad telah ditutup dan pembaharuan hukum Islam adalah tidak perlu. Mereka memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab-mazhab tertentu sahaja dan apa-apa perkembangan terbaru dalam tamadun manusia adalah sesuatu yang harus ditinggalkan kerana ia, kononnya, tidak dirangkumi oleh syari‘at Islam. Sikap negatif seperti ini perlu diubah, pertama kerana para imam mazhab sendiri tidak memaksa umat Islam untuk bertaklid kepada mazhab mereka dan kedua, para imam mazhab sendiri berubah-ubah fatwa mereka selari dengan peredaran zaman dan tamadun semasa kehidupan mereka sendiri.

Ketujuh: Beralih daripada sikap Eksklusif kepada sikap Inklusif. Eksklusif ialah sikap mengunggulkan diri sendiri dan menyisihkan orang lain manakala Inklusif ialah sikap merendahkan diri sendiri agar sama rata mencakupi semua orang. Malang sekali sikap eksklusif, yang mirip kepada sifat Iblis yang enggan bersujud kepada Adam alaihi salam, telah menjadi ciri-ciri sebahagian gerakan Islam. Masing-masing mengunggulkan gerakan sendiri sehingga akhirnya menjadilah gerakan Islam sesuatu yang berpisah-pisah. Seharusnya sifat eksklusif ini dikikis dan diterapkan sikap inklusif yang berciri-cirikan jamaah dan kerjasama.

Kelapan: Beralih daripada sikap berlebih-lebihan kepada sikap bersederhana. Islam adalah agama pertengahan, apa yang berpisah daripada pertengahan ini disebut sebagai berlebih-lebihan (Ghuluw). Agama pertengahan ini tidak condong ke sikap remeh dan tidak juga condong kepada sikap fanatik. Sayang sekali ada di antara gerakan Islam yang condong ke arah meremehkan syari‘at Islam sepertimana aliran liberalisme. Ada juga yang condong ke arah berlebih-lebihan seperti aliran fanatisme. Yang benar gerakan Islam harus berada di antara kedua-duannya kerana ini jalan yang lurus yang akan menghasilkan kejayaan sebenar.

Kesembilan: Beralih daripada sikap berkeras kepada sikap berhikmah. Sebahagian gerakan Islam, kerana sikap putus asa telah beralih daripada manhaj dakwah dengan hikmah kepada manhaj kekerasan dengan senjata. Mereka membunuh jiwa dan melakukan kerosakan harta benda yang akhirnya hanya akan menggagalkan secara keseluruhan usaha kebangkitan Islam. Seharusnya gerakan Islam memiliki sifat sabar dan bertahap-tahap. Tidak boleh menanam benih di pagi hari dan mengharapkan buahnya di petang hari.

Kesepuluh: Beralih daripada pertelingkahan kepada persatuan. Antara faktor utama yang menghalang kejayaan gerakan Islam mutakhir ialah pertelingkahan sesama gerakan atas hal-hal khilaf dan dzanni (hukum yang samar-samar). Padahal syari‘at Islam mewajibkan umatnya sesuatu yang disebaliknya, iaitu bersatu dan jangan berpecah. Selagi gerakan Islam berpecah dan bertelingkah, selagi itulah kejayaan menjauhi tangan umat Islam.

Demikian sepuluh poin utama yang digariskan oleh Syaikh al-Qaradhawi kepada gerakan Islam mutakhir tanpa khusus kepada mana-mana aliran tertentu. Di dalam memberi poin-poin di atas, Syaikh al-Qaradhawi telah menegur secara positif beberapa aliran Islam mutakhir yang masyhur seperti Jamaah Hizbut Tahrir, Jamaah Tabligh, Jamaah Jihadi, Jamaah Wahabiyyah, Jamaah al-Albaniyyun, Jamaah al-Jamiyyun (pengikut Syaikh Rabi’ al-Madkhali), Jamaah Syururiyyun, Jamaah Ikhwan al-Muslimun, Jamaah Sufisme dan tareqat-tereqat mereka dan pelbagai lagi.

Buku ini sangat dianjurkan kerana gerakan kebangkitan Islam di Malaysia juga tidak lepas daripada pelbagai kelemahan dan kekurangan sepertimana yang digariskan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Gerakan kebangkitan Islam di Malaysia masih berada di tahap remaja dan sangat-sangat memerlukan bimbingan untuk mencapai tahap dewasa secepat agar segala misi perjuangan mereka dapat membuahkan hasil sebaik mungkin. Baca Selengkapnya..

- Kriteria -



Kebiasaan masyarakat kita apabila disebut persediaan menjadi suami, mereka menyangka ia adalah memiliki sijil pengajian tinggi, paling kurang diploma. Telah memiliki kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500, diikuti dengan sebuah rumah dan kereta.

Tidak ketinggalan, wang tunai berjumlah RM30,000 untuk urusan perkahwinan seperti duit hantaran, dulang-dulang hantaran, cincin dan belanja kenduri kahwin. Jika seorang lelaki belum memiliki semua ini, dia belum layak untuk bergelar suami.

Namun dalam Islam, ukuran persediaan untuk menjadi suami bukanlah seperti di atas. Persediaan untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada kualiti lelaki tersebut dan inilah yang akan diperincikan di sini.



1. KEPIMPINAN

Persediaan terpenting ialah bakal suami perlu mengetahui bahawa dia memiliki tanggungjawab sebagai pemimpin ke atas keluarganya.

Allah berfirman: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.” [al-Nisa' 4:34]

Sebagai pemimpin, bakal suami hendaklah memiliki ilmu rumahtangga, akhlak yang menterjemah teori kepada praktikal, disiplin yang tinggi serta wawasan yang luas. Jika sebelum ini pernah menjadi pemimpin, seperti pemimpin kelab, persatuan, rombongan atau jabatan, maka ia adalah pengalaman yang boleh dikembangkan dalam kepimpinan rumahtangga.

Bagi yang belum pernah, maka alam rumahtangga adalah suasana yang baik untuk mula melatih diri menjadi pemimpin. Terasa sukar? Jangan bimbang. Lantiklah isteri anda menjadi timbalan pemimpin untuk bersama-sama saling membantu mengemudi bahtera rumahtangga.

Di sini perlu diingatkan bahawa kepimpinan anda sentiasa dicatit markahnya oleh malaikat di bahu kanan dan kiri. Oleh itu berwaspadalah, jangan menjadi pemimpin yang ego dan zalim. Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda akan dipersoalkan semula oleh Allah pada Hari Akhirat kelak.



2. KETEGASAN

Lanjutan dari ciri seorang pemimpin, bakal suami hendaklah tegas dalam membimbing isteri. Kelak apabila dianugerahkan cahaya mata, suami juga hendaklah tegas dalam membimbing anak-anak.

Allah mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Taghabun 64:14]

Oleh itu dalam institusi perkahwinan, suami adalah pemimpin dan bukan yang dipimpin, penjaga dan bukannya dijaga serta pengawal dan bukannya dikawal. Namun ketegasan bukanlah bererti bengis dan menakutkan, sebaliknya hendaklah bersikap memaafkan dan tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka.



3. PEMELIHARA DARI API NERAKA

Suami merupakan pemelihara agar ahli keluarga tidak masuk ke dalam api neraka.

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [al-Tahrim 66:06]

Justeru anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan seterusnya mendidik ahli keluarga serta memastikan mereka mempraktikannya. Lebih penting, anda hendaklah paling kehadapan dalam mempraktikkan ilmu-ilmu agama tersebut. Jangan sekadar menyuruh ahli keluarga mendirikan solat tetapi anda tidak solat, jangan sekadar menyuruh ahli keluarga menutup aurat tetapi anda mendedahkan aurat.

Allah memberi amaran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff 61:2-3]



4. MEMBERI NAFKAH

Termasuk persediaan menjadi suami ialah kesedaran bahawa anda merupakan sumber kewangan rumahtangga. Justeru anda bertanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal, keperluan asas dalam tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman kepada ahli keluarganya. Anda juga bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli keluarga seandainya mereka jatuh sakit.

Meskipun nafkah rumahtangga berada di atas bahu suami, ini tidaklah bererti suami mesti memiliki pendapat minima yang tertentu jumlahnya. Setiap suami memiliki kemampuan kewangan yang berbeza dan setiap suami berbelanja untuk ahli keluarganya pada kadar kemampuannya. Tidak ada nilai minimum atau maksimum untuk kadar nafkah ini.

Allah berfirman: “Hendaklah orang (suami) yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).” [al-Thalaq 65:07]

Demikianlah beberapa kualiti yang perlu ada pada seorang lelaki untuk dia menjadi seorang suami. Perhatikan bahawa kualiti-kualiti ini tidak ada ukuran minimum dan maksimum atau batasan tertentu bagi menentukan layak atau tidak.

Ia adalah kualiti yang nilainya relatif, ia akan bertambah apabila anda berusaha untuk memperbaikinya dan akan berkurang apabila anda mengabaikannya. Justeru, lelaki yang sudah bersedia menjadi suami ialah lelaki yang mengetahui kualiti-kualiti ini, memilikinya dan berazam untuk terus memperbaikinya.



sumber: http://mediasiber.com/ Baca Selengkapnya..

Tuesday, September 13, 2011

~ Universiti Sains Malaysia Dalam Kenangan~




Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam ke atas junjungan kita,Nabi Muhammad s.a.w..

Sudah lama tidak mencoret di teratak usang ini,hari ini sebelum berangkat ke Penang untuk raptai Konvokesyen,ingin sekali mengenang kembali kisah suka dan duka sepanjang berada di kampus USM,Penang.Banyak sekali kenangan yang mencuit hati besama sahabat-sahabat.Memang benarlah,sebenarnya sahabat dan kawan-kawan yang banyak mencorak perlakuan dan pemikiran kita sehari-hari sepanjang kita bermusafir mencari ilmu di tempat orang.Didikan ibu bapa hanya sebagai asas awal untuk kita menjadi insan yang baik.Kepentingan berkawan dengan orang yang boleh membimbing dan menasihati diri di kala rebah di persimpangan waktu mungkin akan dirasai selepas kita berlalu meninggalkannya.Memang saya sangat akui,sahabat sejati memang agak susah dicari,namun senang pula mendapat kawan-kawan tanpa dicari.Dari situ,pengalaman dan ilmu dalam sebuah pencarian makna kehidupan hakiki bermula.

Kehidupan yang sangat sibuk dengan aktiviti seorang Mahasiswa,dae'i dan aktivis persatuan sememangnya cukup manis walau ada ranjau berduri di sebalik itu semua.Kuliah,tutorial,study group,lab report,assignment,test,usrah,program dan berbagai lagi aktiviti sebelum menjelangnya Peperiksaan Akhir tersusun padat dlm jadual..Hmm,kadang2,Final Exam pun masih lagi sibuk dengan program.Namun,dek kerana cinta dan sayangnya kpd dakwah Islam,maka semua sahabat berganding bahu bekerjasama melunaskan amanah masing2.Berat mata memandang,berat lagi bahu memikul.InshaAllah,semoga Allah menerima pengorbanan kita selama ini dan memberi rezeki yang tidak kita sangka-sangka.

Dakwah yang sering dikhabarkan oleh ustaz ustazah di tangga persekolahan merupakan satu praktikal di Matrikulasi dan Kampus.Ia timbul apabila ada satu kefahaman yang kukuh dan ilmu yang diperoleh secara langsung dan tidak langsung daripada mata2 rantai perjuangan Islam.Alhamdulillah,baru saya sedar bahawa usrah yg diikuti sejak Matrikulasi rupa-rupanya telah dipraktik semasa Tingkatan Satu,Terima Kasih kpd kakak angkat,Kak Nor.Selalunya,di antara Maghrib Isyak,kakak ini akan mula menceritakan perihal azab kubur,akhirat dan sirah di surau sekolah.Pengisian2 spt itu membuatkan junior spt sy ketika itu seronok walau terpaksa berjauhan dgn keluarga.Masih terasa biah solehah di sekolah lama dulu.

Kampus USM banyak mengajar sy dari segi pengurusan masa,pengurusan diri dan pengurusan orang2 sekeliling.Contoh situasi,Esok awal pagi ada test,mlm ni sempat lagi pergi meeeting sampai 3/4 pagi.Esok ada paper,hari ni masih lg d tempat program dan macam2 peristiwa yg mencabar kemampuan diri.Walau dah tahu mcm xcukup je study namun shbt2 sering berpesan "sebenarnya belajar ni bukannya nilai kuantiti tapi kualiti".Yang penting,Bagaimana kita dpt input dlm masa yang singkat dan mengeluarkan idea dgn jelas di atas paper exam~hee

Stress?Ia suatu yang normal bagi seorang manusia.Terasa hati?Bukan orang,kalau tak ada terguris hati.Stress dgn kerja kebiasaan org blh adapt,namun stress dgn sikap manusia,kadang2 mampu mencabar kewarasan akal.Walau bagaimanapun,kemaafaan adalah yang terbaik dan melupakan segala tindakan mereka adlh penawar yg berkesan.Di situ,kita boleh menilai tahap kesabaran kita sejauh mana dan mengajar kita berwaspada supaya pisang tdk berbuah 2 kali.Hmm,bnda2 inilah merupakan asam garam perjuangan dan salah satu masalah hati yg blh menjejaskan gerak kerja dan akademik kita.Jadi,kalau ada shbt kita hilang tibe2,jgn bimbang.Mungkin dia tengah beruzlah utk menyucikan hatinya supaya tenang kembali =)

Hampir 3 tahun berada di kampus,berbagai skill dipelajari drp sahabat2 yg bervariasi.Macam2 sampai tak terkata.Sanggup memberi kepercayaan walau hanya ada lesen T shj tp ntah ke mana-mana,huhu.Sanggup mengajar sesuatu yg tdk pernah dibuat,Adobe Photoshop trutamnya utk banner,urus kedai dll.Sanggup menasihati dan membetulkan diri di kala tersilap kata dan tindakan dan banyak lagi.Jazakallah dan moga ntum merasai kemanisan yg sama.Akhir kalam dan sebagai kesimpulannya,kemanisan dalam perjuangan di jalan dakwah merupakan satu bonus untuk kita daripada Allah.Moga kita terus istiqamah..Ameen. Baca Selengkapnya..

Monday, September 12, 2011

Puisi Mujahidah


aku iri denganmu
wahai mujaheedah-mujaheedah fi sabielillah
kalian bisa bangkit menentang
hatta dengan pena
mahupun dengan pedang
menegakKan kalimah Allah
dibumi yang kian gersang

aku cemburu denganmu
wahai wanita-wanita solehah
betapa mulianya akhlakmu
betapa taatnya ibadahmu
menjunjung tinggi Quran dan sunnah di jiwamu

aku iri padamu
wahai ibu-ibu yang perkasa jiwanya
kau korbankan permatamu demi agamamu
tiada nilainya dunia di hatimu
bagimu dunia ini hanya jalan persimpangan
buatmu meraih kehidupan

aku cemburu padamu
wahai para Syahiedah
syurga telah pasti buatmu
7 langit bersorak ria menanti kehadiranmu
kau hidup, di saat darahmu tumpah membasahi bumi
kerna yang syahid takkan pernah mati

Namun,
aku sedih, aku marah
dengan diriku sendiri
jiwaku terlalu sepi
nafsuku sering merajai
adakah kernaku sering melupai Ilahi Robbi??

Ya Ilahi….
tiupkan roh-roh Iman dan Islam di jiwaku
agar aku sentiasa dekat deganMu
agar aku bisa mencintai Jihad dan Dakwah seperti nyawaku
menentang kemungkaran di setiap helaan nafasku
agar aku bisa menjadi IBU yang perkasa
mendidik para MUJAHIDAH
menjadi WANITA SOLEHAH
untuk menggapai SYAHADAH… Baca Selengkapnya..

Sebab-Sebab Futur



Penyakit Futur

Futur mengandungi dua makna iaitu :

a. Putus setelah bersambung, atau tenang setelah bergerak.
b. Malas, lambat, perlahan, setelah rajin dan bersungguh.

Menurut istilah : Futur ialah suatu penyakit yang dapat menimpa sebahagian aktivis, bahkan menimpa mereka secara praktikal (perbuatan). Tingkatannya yang paling rendah berupa kemalasan, menunda-nunda atau berlambat-lambat. Kemuncaknya ialah terputus atau berhenti sama sekali sebelumnya rajin dan terus bergerak.


Allah SWT berfirman mengenai malaikat “Dan (ingatlah) Segala Yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat Yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka beribadat malam dan siang, Dengan tidak berhenti-henti.” – (Al-Anbiya’ : 19-20)

Maksudnya, mereka selalu beribadah dengan menyucikan Allah dari segala sesuatu yang tidak layak bagiNya, sentiasa mengerjakan solat dan berzikir kepada Allah siang dan malam dengan tiada merasa lemah dan bosan.

SEBAB-SEBAB FUTUR

Masuknya penyakit futur ke dalam jiwa seseorang itu disebabkan perkara-perkara berikut:

1. Berlebih-lebihan dan bersangatan dalam beragama.

Dengan sangat tekun dalam melaksanakan ketaatan dan menghalangi tubuhnya untuk mendapatkan hak-haknya seperti istirehat dan memakan makanan yang baik. Sikap seperti ini akan mendatangkan kelemahan, letih, lelah, jemu dan bosan yang akhirnya akan memutuskan dan meninggalkan aktivitinya itu. Ini merupakan masalah yang sangat jelas, kerana manusia itu kemampuannya terbatas. Apabila dipaksa terus, maka dia akan terus futur, lemah, letih, malas, terputus dan berhenti.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama.”

Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memberat-beratkan diri. Nanti akan diberatkan atasmu. Sesungguhnya sesuatu kaum telah memberat-beratkan diri, lalu diberatkan atas mereka. Maka itulah sisa-sia mereka di tempat-tempat kebaktian dan biara-biara. Itulah tempat kerahiban yang mereka ada-adakan – demikian firman Allah – yang tidak Kami wajibkan atas mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya agama Islam itu mudah, dan tidaklah seseorang memberat-beratkan diri dalam beragama melainkan ia akan dikalahkan olehnya.” (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda, “Berbuat baiklah sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah, Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri yang merasa bosan. Dan amalan agama yang paling dicintai ialah dilakukan secara rutin oleh pelakunya.” (Muttafaqa alaih)

2. Berlebih-lebihan dan melampaui batas dalam perkara yang harus

Pembaziran dan melampaui batas dalam megmabil makanan akan menjadi kegemukan yang berlebihan, didominasi syahwat yang seterusnya badan terasa berat, tidak aktif, malas, berlambat-lambat, kalau tidak terputus dan berhenti sama sekali.

Firman Allah SWT mengingatkan manusia, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas.” (Al-A’raf : 31)

Rasulullah SAW bersabda, “Tiadalah anak Adam mengisi tempat yang lebih jelek daripada perutnya…” (Riwayat Tirmidzi)

Abu Sulaiman Ad-Darani berkata, “Barangsiapa yang kenyang (kekenyangan) maka dia memasuki enam bencana iaitu: kehilangan manisnya bermunajat, terhalang untuk menghafal atau menjaga hikmah, terhalang untuk menyayangi sesama manusia kerana dia mengira semua manusia sudah kenyang, merasa berat melaksanakan ibadah, syahwatnya bertambah dan seluruh mukmin berkeliling sekitar masjid sedang orang-orang yang kenyang berkeliling sekitar sampah.”

3. Suka menyendiri dan meninggalkan jemaah

Dalam mengharungi liku-liku yang sangat panjang, adakalanya menurun dan mendaki, banyak rintangan yang akan dihadapi, dan ianya selalu memerlukan kepada penyegaran dan pembaharuan atau revolusi diri. Apabila jalan kehidupan dan perjuangan ini ditempuh oleh seseorang muslim dengan berjemaah (bersama-sama dengan yang lain) maka hatinya akan merasa mantap, semangatnya selalu timbul, kemahuannya kuat dan bersungguh-sungguh.

Tetapi kalau dia menyendiri, menjauhkan diri daripada jemaah, maka dia akan kehilangan orang yang dapat membangkitkan semangatnya dan menguatkan kemahuannya, yang menggerakkan himmah (cita-citanya), dan mengingatkan kepada Tuhannya. Akibatnya dia akan merasa bosan dan malas dan akhirnya akan menunda-nunda dan melambat-lambatkan pekerjaan, kalau tidak terputus dan berhenti sama sekali.

Sebab itulah, rahsia Islam menekankan kehidupan berjemaah dan melarangnya berpecah-belah dan menyendiri dari berjemaah.

Firman Allah SWT, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..” (Ali Imran : 103)

Firman Allah SWT, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan…” (Al-Maidah : 2)

Firman Allah SWT, “Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu…” (An-Anfal : 46)

Firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka Yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa Yang besar” (Ali Imran : 105)

Nabi SAW bersabda, “…Hendaklah kamu hidup berjemaah dan janganlah berpecah-belah, kerana syaitan itu menyertai orang yang bersendirian, sedangkan terhadap dua orang ia lebih menajuh. Barangsiapa yang menginginkan tengah-tengah syurga maka ia hendaklah menetapi jemaah.” (Riwayat Tirmidzi)

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang memisahkan diri dari jemaah sejengkal, maka ia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya.” (Riwayat Ahmad)

4. Sedikit sekali mengingati mati dan akhirat.

Kurangnya mengingati mati dan kampong akhirat akan mengakibatkan lemahnya keinginan dan kemahuan dan lambatnya kegiatan sama sekali (kerana tidak memikirkan keadaan setelah mati dan di akhirat nanti.

Untuk memperoleh hikmah mengingati mati, Rasulullah SAW bersabda, “Aku dahulu pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekaranglah berziarahlah kubur, kerana ziarah kubur itu dapat menjadikan orang bersikap zuhud terhadap dunia dan mengingatkan kepada akhirat.” (Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, “Wahai manusia! Malulah kamu kepada Allah dengan benar-benar malu.” Lalu ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami merasa malu kepada Allah Ta’ala.” Kemudian baginda bersabda, “Barangsiapa di antara kamu merasa malu (kepada Allah) maka janganlah ia memasuki malam hari kecuali ia merasa bahawa ajalnya telah berada di antara kedua matanya dan hendaklah ia menjaga perutnya dengan segala isinya, menjaga kepalanya dengan segala muatannya, dan hendaklah ia mengingat kematian dan kebinasaan, dan meninggalkan perhiasan kehidupan dunia.” (Riwayat Ibnu Majah)

5. Bersikap seenaknya dalam melaksanakan amal sehari-hari.

Misalnya tidur sehingga tidak melakukan solat fardhu tepat pada waktunya kerana satu malam tidak tidur dengan tiada kepentingan.

Misalnya lagi meninggalkan solat sunat rawatib, solat malam, solat dhuha, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar, berlambat-lambat datang ke masjid atau tidak menghadiri solat berjemaah tanpa ada uzur.

Semua itu ada akibatnya, dan akibat paling kecil ialah timbulnya penyakit futur, lemah, letih malas, berasa berat melakukan amal atau bahkan terhenti dan terputus sama sekali.

Di dalam hadis rasulullah SAW bersabda, “Syaitan mengikat tiga ikatan pada belakang kepala salah seorang di antara kamu ketika tidur, pada setiap kali mengikat ia berkata, “Engkau harus bermalam panjang, kerana itu tidurlah! Apabila orang tersebut bangun dan mengingat Allah, maka lepaslah satu ikatan, bila ia berwuduk, lepaslah satu ikatan lagi dan bila ia melakukan solat, lepas pula ikatan yang satuna. Jadilah ia pagi itu berghairah dengan hati cerah. Jika tidak demikian, hatinya kusut dan malas.” (Muttafaqa alaih)

6. Memakan makanan yang haram atau syubhat

Boleh jadi hal ini disebabkan sikapnya yang selamba atau tidak berhati-hati terhadap pekerjaan dalam mencari rezeki untuk memenuhi keperluan hidup. Dan mungkin juga rezeki atau cara memperolehi rezeki itu dengan jalan yang syubhat, tidak jelas halal haramnya, atau kerana sebab-sebab yang lain.

Maka kibatnya, ia akan memutuskan diri dari melakukan ketaatan-ketaatan, atau tidak-tidaknya merasa malas atau merasa berat sekali melaksanakan ketaatan, sehingga dalam melaksanakan ketaatan iti tidak merasa lazat dan tidak mendapatkan rasa manis (nikmat) dalam bermunajat.

Sebab itu Islam menyeru umatnya agar memakan makanan yang halal, bekerja secara halal, meminum minuman yang halal, dan menjauhi segala yang haram dan syubhat.

Firman Allah SWT, “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah : 168)

Firman Allah SWT, "Oleh itu, makanlah (Wahai orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (An-Nahl : 114)

Firman Allah SWT, “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda Yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; Sesungguhnya Aku Maha mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.” (Al-Mukminun : 51)

Nabi SAW bersabda, “Setiap badan yang tumbuh dari barang yang haram (baik haram zatnya mahupun cara memperolehnya), maka nerakalah yang lebih layak untuknya.” (Riwayat Tirmidzi)

Nabi SAW bersabda lagi, “Tinggalkanlah apa yang meragukan dengan melakukan apa yang tidak meragukan (tentang halal dan haramnya).” (Riwayat Tirmidzi)

7. Membatasi kegiatannya pada satu sisi sahaja dari berbagai aspek agama.

Misalnya dengan memerhatikan aspek aqidah sahaja tanpa menghiraukan aspek lainnya. Atau hanya memperhatikan aspek lainnya. Atau hanya membatasi diri untuk melakukan kebaikan-kebaikan dalam aspek sosial kemasyarakatan dengan memejamkan mata terhadap aspek-aspek lainnya. Kalau demikian halnya, maka suatu ketika ia akan dihinggapi penyakit futur, jenuh, dosa, bosan jemu serta malas.

Ini merupakan masalah yang sangat jelas, kerana agama Allah ini diperuntukkan bagi semua aspek kehidupan. Maka apabila seseorang membatasi diri hanya menghendaki sebahaian aspek kehidupan sahaja, tidak menginginkan kehidupan secara menyeluruh. Kalau hal ini sudah mencapai kemuncaknya, lalu timbul pertanyaan: “Apalagi setelah itu?” Maka tidak ada lagi jawapan kecuali timbulnya penyakit futur, lemah dan malas.

Inilah sebab salah satu dakwah Islam kepada umat ini agar menggunakan manhaj Allah secara keseluruhan (utuh) tidak sepotongsepotong.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.” (Al-Baqarah : 208)

Ayat ini menyeru kepada kita mengambil Islam secara menyeluruh tanpa meninggalkan aspek-aspek yang lain seperti mana mengikut jejak langkah syaitan yang sentiasa menginginkan manusia dalam kesesatan, kerana ia memendam permusuhan dan kebencian terhadap kamu. Kelak ia akan memalingkan kamu dari manhaj Allah secara keseluruhan atau selainnya sehingga berakibat terkena penyakit futur, lemah, bosan, malas dan akan mengabaikan ajaran dan amalan Islam.

8. Melupakan sunnah Allah terhadap alam dan kehidupan.

Kita melihat sebahagian orang yang berkecimpung menegakkan agama Allah ingin mengubah keadaan masyarakat secara menyeluruh, baik dalam aspek pemikiran, perasaan, tradisi, akhlak, sosial, ekonomi dan lainnya hanya dalam waktu sehari semalam dengan menggunakan uslub dan wasilah yang lebih dekatdikatakan khayal daripada realiti.

Kesemuanya dilakukan dengan penuh keberanian dan pengorbanan yang besar dan tidak mengenal lelah, dengan tiada memperhitungkan bagaimana hasilnya nanti. Prinsipnya, asalkan dengan niat kerana Allah dan menegakkan syiarnya.

Setiap amalan atau aktiviti itu harus dilakukan secara bertahap. Adapun cara pemaksaan hanya dapat diterapkan terhadap orang-orang sangat taqwa. Segala sesuatu itu memiliki ukuran waktu tertentu yang tidak dapat dimajukan atau dimundurkan.

Dengan semangat yang bernyala-nyala seperti itu, apabila mereka melihat realitinya tidak sesuia dengan yang diinginkannya, mereka lantas merasa malas, mundur langkahnya, berlambat-lambat. Bahkan, mungkin berhenti sama sekali kerana melihat hasilnya tidak sesuai dengan perjuanagn dan pengorbanan yang telah dilakukannya.

9. Tidak memperlihatkan hak-hak badan kerana besarnya tugas dan banyaknya kewajipan, sedang orang yang mahu melaksanakan agama jumlah sangat sedikit.

Kita menjumpai sebahagian aktivis yang mencurahkan seluruh tenaga, waktu dan kemampuannya untuk berkhidmat kepada agama Islam ini dengan tidak menghiraukan keadaan dirinya, sehingga ia sedikit sekali beristirehat.

Orang-orang seperti itu, meskipun punya alas an kerana besarnya tugas, banyaknya kewajipan dan sedikitnya tenaga yang mahu menangani, suatu saat mereka akan keletihan, dan lemah juga, hingga malas melaksanakan tugas.

Ini barangkali di antara rahsia Rasulullah SAW menyuruh umatnya memperhatikan hak-hak badan, bagaimanapun alasan yang dikemukakan.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak atasmu, diri (badan dan jiwamu) juga punya hak atasmu, dan keluargamu (isteri dan anakmu) juga punya hak atasmu. Kerana itu, berikanlah kepada setiap yang punya hak akan haknya.” (Riwayat Bukhari)

10. Tidak adanya persiapan untuk menghadapi rintangan.

Kita menjumpa sebahagian aktivis yang mulai melangkah ke jalan perjuangan dengan tidak memperhatikan cabaran atau hambatan-hambatan yang berupa isteri , anak, kepentingan duniawi, musibah, bencana dan sebagainya. Sehingga mereka tidak mengatur dengan saksama

Kadang-kadang ditengah perjalanan dia bertemu dengan rintangan-rintangan tersebut. Apabila dia(mereka) tidak mampu menghadapinya, lantas dia mundur, malas, bosan, berlambat-lambat, bahkan berhenti sama sekali.

Inilah rahsia peringatan Al-Quran yang dikemukan secara berulang-ulang mengenai cabran dan rintangan yang ada di tengah jalan.

Firman Allah SWT : “ Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu Yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala Yang besar.” (At-Taghabun : 14-15)

Firman Allah SWT lagi, “Dan ketahuilah Bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala Yang besar.” (Al-Anfal : 28)

Firman Allah SWT lagi, “Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang Yang beriman Dalam keadaan Yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan ia tetap menguji kamu) sehingga ia memisahkan Yang buruk (munafik) daripada Yang baik (beriman).” (Ali Imran : 179)

Firman Allah SWT lagi, “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.” (Al-Ankabut : 1-3)

Firman Allah SWT lagi, “Dan Demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang Yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang Yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang Yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad : 31)

11. Bersahabat dengan orang yang lemah kemahuannya dan rendah cita-citanya

Adakalanya seorang aktivis gerakan Islam berteman dan bersahabat dengan sekolompok orang yang terkenal. Namun, ketika didekati, dan hidup bersama mereka, ternyata mereka itu rosak, lemah dan kendur semangatnya untuk beramal. Maka penyakit malas dan lemah semangat ini akan menular kepadanya sebagaimana halnya penyakit kudis menular kepada orang yang sihat.

Nabi SAW bersabda, “Seseorang itu mengikuti keagamaan temannya. Kerana itu hendaklah kamu memperhatikan orang yang akan kamu jadikan teman.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis lain, baginda bersabda: “Sesungguhnya perumpaan teman duduk yang baik dan teman duduk yang jelek itu bagaikan penjual minyak wangi dan peniup abu pandai besi. Adapun pembawa(penjual) minyak wangi, mungkin dia akan memberimu sedikit, atau engkau membelinya, atau setidak-tidaknya engkau mendapatkan bau yang harum darinya. Sedangkan peniup abu pandai besi, mungkin akan membakar (menghanguskan) pakaianmu, dan mungkin engkau mendapatkan bau yang tidak enak darinya.” (Muttafaqa Alaih)

12. Tidak sistematik dalam melakukan sesuatu, baik yang dilakukannya sendiri mahupun bersama-sama

Banyak aktivis, baik secara individu mahupun jemaah, yang melakukan kegiatan untuk agama Allah secara sambilan, tidak sistematik dan tidak teratur. Sehingga mereka mendahulukan masalah yang tidak penting dan mengakhirkan (bahkan mengabaikan) yang prinsipil dan sangat menentukan dalam menegakkan Allah.

Kerja secara sambilan dan tidak sistematik ini akan menyebabkan jalan perjuangan menjadi panjang dan beban menjadi banyak. Selain itu akan memerlukan pula pengorbanan, sehingga menyebabkan mereka lelah dan bosan seandainya Allah tidak ikut campur dengan pertolongan, pemeliharaan serta peneguhanNya.

Ketika mana Rasulullah berwasiat kepada Muaz bin Jabal ketika baginda mengutusnya ke Yaman, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum ahli kitab, maka ajaklah mereka untuk bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku adalah Rasul Allah. Jika mereka tidak mentaatimu dalam hal ini, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka zakat yang dipungut dari orang-orang kaya di antara mereka, lantas dikembalikan (diagih-agihkan) kepada orang-orang fakir mereka. Jika mereka telah mematuhi hal ini, maka janganlah engkau merosak harta mereka yang baik-baik, dan takutlah engkau akan doa orang yang teraniaya kerana antara doanya dengan Allah tidak ada penghalang.” (Muttafaqa Alaih)

Hadis ini merupakan kaedah pokok melaksanakan pekerjaan sesuai dengan keutamaan dan tingkat kepentingannya yang menuntut kecermatan dan ketelitian.

13. Terjatuh dalam lembah maksiat dan keburukan, lebih-lebih bila menganggap mudah terhadap dosa-dosa kecil.

Antara firman Allah SWT mengingatkan kepada umat Islam:-
“Dan apa jua Yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa Yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan Yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (As-Syura : 30)

Sabda Nabi SAW, “Jauhkanlah dirimu dari dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa kecil itu dapat berkumpul pada seseorang lantas membinasakannya.” Kemudian baginda membuat perumpamaan, katanya “Hal itu seperti suatu kaum yang turun di tanah lapang, lalu mereka memperolehi makanan. Kemudian salah seorang mengambil ranting-ranting kecil sehingga bertompok menjadi banyak, lalu mereka menyalakan api dan mematangkan apa yang mereka lemparkan ke dalamnya.” (Riwayat Ahmad)

Demikianlah beberapa perkara yang timbulnya penyakit futur (lemah, bosan, semangat yang menurun, malas, berlambat-lambat, bahkan mungkin berhenti sama sekali dari melakukan amal).


Terjemahan : Afat Ala Thoriq (Dr Sayyid Muhammad Nuh)

Disediakan oleh :
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN PMRAM 2011 Baca Selengkapnya..

Template by:
Free Blog Templates