Thursday, July 21, 2011

JEJAK CITA



SMKA Nurul Ittifaq,Kuala Besut>>3 Ibnu Sina>>Beberapa hari sebelum PMR 2004



MRSM Kota Putra,Besut>>>Badan Wakil Pelajar>>Beberapa minit selepas perletakan jawatan>>2 bulan lg SPM 2006(ingat2 lupa)

Album : See You D IPT
Munsyid : Unic

~SEBUAH PERTEMUAN~


Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan


Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan


Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati

Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina


Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman


=>> Mungkin inilah lirik yg sesuai utk mood saya sekarang ini>>Mengimbau zaman sekolah yg cukup menarik dan unik..Kini,masing2 membawa diri menuju puncak cita,moga sukses semua,Ameen (^__^)// Baca Selengkapnya..

Thursday, July 7, 2011

SURAQAH BIN MALIK

Bismillah...

Saya tertarik dan mengagumi kisah Suraqah Bin Malik. Beliau merupakan antara orang yang kuat menentang dakwah Rasul SAW dan hampir membunuh Rasul SAW ketika perjalanan hijrah baginda ke Madinah.

Ketika pembesar kaum musyhrikin mekah menawarkan 100 ekor unta betina yang baik dengan syarat membawa Muhammad SAW samada hidup atau mati di hadapan pembesar mereka, Suraqah pun pantas menggapai pedang, panah dan kudanya tanpa diketahui oleh orang lain meluru menuju dimana Rasul SAW berada. Suraqah juga antara kabilah yang mahir menjejak seseorang di padang pasir dikenali sebagai penjejak yang hebat.

Kemahiran Suraqah dalam menjejak akhirnya dia bertemu dengan rombongan baginda Nabi SAW bersama dengan Abu Bakar dan penunjuk jalannya Abdullah Bin Uraiqith. Suraqah pun meluru ke arah mereka namun 3 kali percubaannya gagal kerana kaki kudanya terperosok menyebabkan dia terjatuh daripada kudanya.

Rasulullah SAW datang ke arahnya lalu memberikan pertolongan kepada Suraqah menyebabkan dia merasa teruja dengan sifat Nabi SAW ketika itu sedangkan Nabi SAW tahu kedatangan Suraqah adalah bertujuan untuk menangkapnya atau membunuhnya.

Melihat situasi itu maka berkata Suraqah " Ya Muhammad! Aku pasti agama engkau akan menang. Berjanjilah kepadaku, jika suatu hari nanti aku datang ke kerajaan engkau, maka engkau akan bermurah hati kepada aku. Tuliskanlah itu untukku" pinta Suraqah.

Rasulullah SAW mengarahkan Abdullah Bin Uraiqith menulisnya sesuatu mengenainya di atas sepotong kulit dan diberikan kepada Suraqah lalu Rasulullah SAW menawarkan sesuatu kepada Suraqah ;

" Bagaimana wahai Suraqah, jika pada suatu waktu engkau mengenakan mahkota kebesaran Kisra? " mahkota kebesaran Kisra bin Hurmuz ? kata Suraqah terkejut. " Ya, pakaian kebesaran Kisra bin Hurmuz!" jawab Rasulullah SAW menyakinkan.

Satu tawaran yang sukar untuk dipercayai dan menambahkan kebingungan Suraqah. Kemudian Suraqah kembali dan memberitahu sekumpulan orang yang sedang mencari Nabi SAW bahawa baginda tidak ditemui di jalan - jalan yang dilaluinya. Itu kata daripada seorang yang mahir menjejak dan sudah semestinya mereka mempercayai kata - kata itu.

10 tahun selepas itu, Suraqah bertemu Rasulullah SAW setelah Madinah di bawah pemerintahan baginda menyatakan keislamannya di hadapan baginda. Semenjak itu, Suraqah menjadi pendukung setia gerakan dakwah walaupun hanya berkesempatan bersama dengan baginda selama 9 bulan.

Suraqah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyebarkan Islam. Sehinggalah di zaman pemerintahan Umar bin Khattab kerajaan parsi telah tewas dan telah ditakluk oleh kerajaan yang dipimpin oleh khalifah kedua itu.

Longgokan harta rampasan perang terlalu banyak melimpah ruah, di saat itu juga khalifah Umar menemui mahkota dan gelang kebesaran Kisra bin Hurmus lalu memanggil Suraqah bin Malik mengenakan pakaian kebesaran Kisra itu di tubuh Suraqah lengkap dengan seluar dan kasut. Kemudian Umar menyisipkan pedang dengan tali pinggang kebesaran Kisra. Mahkota diletakkan di kepala Suraqah dan memakaikannya gelang kebesaran itu ke dua - dua tangan Suraqah dengan diiringi laungan takbir.

Suraqah bin Malik terdiam mematung mengenang kebenaran ucapan Rasulullah SAW belasan tahun yang lalu.

Daripada kisah Suraqah ini banyak pengajaran yang dapat kita perolehi :

1. Sifat Rasulullah SAW yang pemaaf, sewajar ia menjadi contoh dan ikutan untuk kita.

2. Benarnya janji Rasulullah SAW. Khas untuk Suraqah yang mendapat janji yang baik untuknya daripada Rasulullah SAW. Perlu diingat Rasulullah SAW sering mengingatkan kita melalui sabdaannya mengenai peristiwa - peristiwa akhir zaman yang bakal berlaku. Oleh itu, ingatan untuk kita agar Allah pelihara kita daripada kejahatan dan bala bencana.

3. Hebatnya strategik Rasulullah SAW. Walau ditentang hebat namun Rasulullah SAW tetap mencari peluang agar musuh tunduk kepadanya kerana musuh - musuh yang menentang dakwahnya itu berbagai - bagai peringkat yang sedia untuk disemai hati mereka dengan dakwah baginda sesuai dengan fitrah kemanusiaannya.

Selebihnya... saya serahkan kepada pembaca untuk mengorek 'ibrahnya agar kebaikan dan manfaat itu diperolehi untuk diri, keluarga dan masyarakat... pakat - pakat sebarkan..

Waallahua'lam.

Semoga kisah2 sahabat ini membangkitkan jiwa agar thabit dengan kerja - kerja dakwah... Allahu Rabbi. Baca Selengkapnya..

Wednesday, June 15, 2011

Jangan Jika Belum Sampai Waktunya




Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

rush

Cuba mendapatkan sesuatu sebelum sampai waktunya kerap kali hanya akan membawa kerugian. Logikanya mudah sahaja, cuba nenikmati buah-buahan yang belum masak hanya akan terhalang dari sebarang kenikmatan malah membawa kepada pembaziran sahaja. Logika ini bukan sahaja diterima aqal biasa, malah juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang disepakati yang berbunyi :

مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئاً قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ

Ertinya : Barangsiapa yang tergesa-gesa dalam sesuatu sebelum sampai tempohnya, nescaya akibatnya adalah terhalang terus dari mendapatkannya (Al-Ashbah Wa An-Nazair, As-Sayuti, hlm 195)



Para ulama Fiqh pada kebiasaannya akan memberikan contoh seorang waris atau anak yang tidak sabar untuk mewarisi harta bapanya, lalu bertindak membunuh bapanya. Apabila itu berlaku dan disabitkan oleh hakim, si anak tadi secara automatis terkeluar dari senarai penerima pusaka bapa. Ia berdasarkan sabda Nabi :

الْقَاتِلُ لا يَرِثُ

Ertinya : Yang membunuh itu tidak boleh mewarisi (Riwayat At-Tirmizi, sohih menurut albani)



Hasilnya, hampir semua mazhab bersepakat, malah dikatakan telah ijma’ di kalangan ulama, bahawa pembunuh tidak akan mewarisi harta mangsa yang dibunuh, khususnya bagi pembunuhan yang diniat dan disengajakan. Demikian ijtihad Imam As-Syafie, Abu Hanifah, Malik dan lain-lain. ( Al-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi, 13/70). Manakala ada sedikit perbezaan pandangan dalam kes pembunuhan yang tidak disengajakan.

Apapun, itulah akibat ketidaksabaran, akhirnya tersekat terus dari harta pewarisan yang digilai.

Lebih jauh dari itu, kaedah ini sebenarnya bukan hanya terpakai dalam kes contoh di atas, malah dalam pelbagai aspek kehidupan pembangunan manusiawi dan pembinaan hukum Islam.

DALAM SISTEM PENDIDIKAN

Mendesak pelajar di usia tadika dan rendah untuk bergelumang dengan ‘stress’ belajar berlebihan, kerja sekolah yang menggunung serta terlalu keras dalam penekanan pada peperiksaan hanya akan menghalang sebahagian pelajar pada usia ‘bermain’ itu mengembangkan aqalnya dengan sempurna. Kesan negatif ini sering menimpa kanak-kanak lelaki yang mana cara belajar mereka lebih perlu bersifat santai dan tidak fokus berbanding kanak-kanak perempuan. Mungkin itulah salah satu faktor mengapa ramai lelaki gagal ke universiti.

Selain itu, muncul pelajar yang ‘bencikan sekolah dan pelajaran akibat terlalu tertekan dengan peperiksaan di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah. Jika berjaya pun, lahir pelajar yang ‘kaki’ menghafal tanpa faham, tidak kreatif serta kurang dinamik di medan universiti dan tidak efisyen di dalam dunia kerjaya. Hasilnya, berterusan Malaysia menghadapi masalah kekurangan tenaga mahir, kreatif, inovatif dalam pelbagai bidang, sama ada agama, sains dan teknologi, ekonomi dan sebagainya.

Tentunya saya tidak menafikan ramai juga telah berjaya melalui sistem ini, namun saya kira jika ia diubah, statistic kejayaan itu mungkin akan lebih membesar.

DALAM SISTEM UNDANG-UNDANG JENAYAH

Dalam bab undang-undang Islam, tergesa-gesa melaksanakan hukuman atau menganggap seseorang itu bersalah sebelum sampai waktu hakim memberikan kehakiman secara adil adalah satu kesalahan, malah dalam sesetengah tuduhan melayakkan kepada mereka yang tidak sabar-sabar menuduh itu hukuman berat dari sudut spiritual ( di waktu ketiadaan hukuman sebgeitu diperuntukan) pula seperti qazaf bagi yang menuduh zina dan liwat.

Malah ramai juga yang tidak sabar-sabar menyabitkan kesalahan ke atas seseorang sehingga ia menjadi fitnah serta penyebaran pembohongan. Akibatnya masyarakat gopoh ini akan sentiasa hidup dalam ‘stress’, sangka buruk dan kurang harmoni. Masakan tidak, apabila telah dengan sendirinya menyabitkan kesalahan ke atas seseorang sebelum proses pengadilan tamat, individu yang bebas itu, sudah mula dirasakan beban dalam komuniti setempatnya yang jahil itu.

Contoh lain adalah kewajiban qadhi atau hakim untuk menahan diri dari memberikan sebarang keputusan tergesa-gesa sebelum sampai waktu yang sesuai, iaitu sehinggalah dia mendengar hujah dari kedua-dua pihak. Nabi s.a.w mengingatkan :-

إذا تقاضى إليك رجلان فلا تقض للأول حتى تسمع كلام الآخر فسوف تدري كيف تقضي

Ertinya : Apabila kamu ingin menjatuhkan hukuman ke atas dua orang lelaki ( yang diadili kes mereka) , janganlah kamu membuat hukuman kepada yang pertama (selepas mendengar katanya), sehinggalah kamu mendengar penjelasan pihak yang satu lagi, ketika itu, barulah kamu akan tahu bagaimana untuk menetapkan hukuman ( Riwayat At-Tirmizi; Hadis bertaraf Hasan)

Displin ini sebenarnya bukan sahaja mesti dipakai oleh hakim dan qadhi di mahkamah biasa, malah mesti diaplkasikan oleh individu masyarakat apabila sahaja mendengar suatu khabaran dan tuduhan buruk ke atas rakan-rakan Mukmin dan Muslim, ada yang segera mempercayai khabaran berita sebelum mendapatkan penjelasan dari yang dituduh akan menjatuhkan seseorang dalam dosa fitnah.

BAB URUSAN KEWANGAN

Beberapa minggu lepas saya bertemu salah seorang CEO di sebuah bank Islam tanahair, beliau meluahkan rasa hatinya dan dilemmanya ketika menjalankan tugasan yang diamanahkan.

Dilemma pertembungan di antara pemilihan fatwa yang tegas, ‘strict’ dalam pembinaan produk kewangan halal dan memenuhi tuntutan pelanggan yang kerap kali menginginkan sesuatu yang adakalanya tidak begitu sihat untuk diri mereka sendiri, seperti kemudahan kad kredit yang secara jelas menggalakan berhutang lebih dari kemampuan bulanan.

CEO tersebut berkata “kita memang boleh berpegang kepada pandangan fiqh yang lebih tegas, tapi hasilnya di dalam suasana masyarakat Malaysia yang belum cukup ilmu, kelak nanti bisnes kewangan halal ini akan terus terpaksa ditutup, atas dasar itu, pandangan fiqh yang sedikit longgar adakalanya mungkin perlu dipertimbangkan oleh para ulama, ia adalah untuk kemasalahatan masa hadapan perbankan halal ini juga”

Pandangan itu memang boleh diterima agar perbankan halal boleh terus berkembang dan harapannya selepas itu, mampu mengubah sikap negatif masyarakat dalam hal pengurusan kewangan peribadi juga.

Sikap majoriti masyarakat yang suka meminjam, berhutang dan kerap terlupa, lalai dan liat membayar semula hutang adalah satu fenomena biasa yang sangat tidak sihat. Namun untuk terus memotong semua produk pembiyaan halal yang berdasarkan hutang (debt based financing) secara serta merta adalah tindakan kurang tepat yang belum sampai waktu sesuainya. Selari dengan kaedah Fiqhiyyah di atas, kerana tindakan terbabit hanya akan meranapkan semua institusi kewangan halal (Islam) dari terus bersaing dan berkembang dalam pasaran semasa.

Apa yang patut dilakukan adalah mengetatkan lagi kreteria pemohonan pembiayaan agar latar belakang mereka adalah benar-benar dari kalangan individu yang mampu melunaskan hutang mereka. Itu amat penting agar tidak ‘melayan’ nafsu berbelanja mereka yang sukar dikekang minda yang waras.

Begitu juga, mengharapkan perbankan halal (Islam) di Malaysia melaksanakan ijtihad fiqh yang tegas dalam semua produknya tanpa berjaya menyemai kefahaman kepada rakyat berkenaan kepentingan hukum, hanya akan mengakibatkan seluruh industri perbankan Islam akan rugi dan akhirnya ditutup. Sekali lagi kaedah tersebut boleh diaplikasinya dalam hal ini.

DALAM BAB PELABURAN

Saya kerap bertemu dengan pelabur muslim yang inginkan jaminan keuntungan dan selamat modal tetapi inginkan kontrak pelaburan dimeterai menurut hukum Islam.

Sedarilah, bahawa permintaan itu adalah tidak mampu ditepati oleh kontrak pelaburan Islam yang hakiki. Jika didesak jua, maka seolah cuba mencari jalan untuk menghalalkan yang haram.

Selain itu, ramai yang menuntut sesuatu yang bercanggah dengan sifat bisnes dan hukum aqal, apabila meminta perbankan Islam menyediakan produk pelaburan yang bersifat ‘low risk with high return’.

‘Sunnatullah’ atau hukum normal fizik alam ini menyebutkan bahawa sifat normal dalam sesebuah pelaburan adalah ‘high risk, high potential return’ dan ‘low risk, low return’ tetapi kini ramai yang tergesa-gesa ingin kaya tapi tidak mahu menanggung risiko. Mahu bercanggah dengan hukum tabiat biasa pelaburan.

Hasilnya, mereka mereka terjebak dalam skim cepat kaya yang kononnya mampu menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko rendah. Akhirnya semua ditipu, hilanglah semua wang mereka, lalu membenarkan kaedah tadi. Iaitu, apabila keuntungan ingin dicapai sebelum waktunya dan tanpa mengikut normanya, akibatnya semua akan terhalang, iaitu hanya tertipu dan kerugian sahaja.

DALAM BAB PERKAHWINAN

Ramai juga yang berkahwin sebelum memahami tanggungjawab berat selaku suami isteri serta yang lebih penting adalah memamhami bagaimana tuntutan dan amanah agama ke atas ikatan suci itu.

Akibat tergesa-gesa mengikut runtunan emosi dan rasa, mereka disatukan tanpa ilmu yang matang.

Kursus kahwin pun hanya mengandungi ‘lucu-lucu lucah’ kata sebahagian mereka mengkritik persembahan penceramah jemputan.

Akhirnya, perkahwinan tergesa-gesa sebelum penyediaan tapak yang kukuh hanya akan mengakibatkan tersekatnya kenikmatan dan keharmonian rumahtangga dalam tempoh yang singkat. Justeru, penceraian demi penceraian menghiasi tuntutan di mahkamah serta dada akhbar.

DALAM BAB PERATURAN PENTADBIRAN & SIYASAH ISLAM

Dalam hal pentadbiran, regulasi dan proses penyediaan tapak perlu dibuat secara tersusun bagi memastikan setiap pembaharuan positif dalam bab pentadbdiran dan politik mampu dihadam oleh masyarakat dengan baik.

Khalifah Umar bin Abd Aziz ketika didesak oleh anaknya untuk mengubah sertamerta unsur-unsur buruk dalam pemerintahan sebelum bapa naik selaku khalifah, segera menasihati anaknya dengan kata beliau :

لا تعجل يا بني، فإن الله تعالى ذم الخمر في القرآن مرتين وحرّمها في الثالثة، وأنا أخاف أن أحمل الناس على الحق جملة فيدفعوه وتكون فتنة

Ertinya : Janganlah tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam Al-Quran itu dua kali dan hanya mengharamkannya pada kali yang ketiga, dan aku bimbang jika aku bawakan kebenaran itu kepada manusia secara sekaligus, lalu mereka tidak dapat menerimanya dan menolaknya secara sekaligus juga, hingga terjadilah fitnah ( al-Muwafaqat, As-Syatibi, 2/148)

Itulah suatu hikmah, mengelakan ketergesaan dan memahami sejauh mana kesediaan minda dan ilmu masyarakat. Namun ini jangan sekali dijadikan alasan untuk terus tidak melaksanakan sesuatu yang baik, apa yang perlu adalah segera merangka ‘blue print’ dan proses ke hadapan dengan jelas dan bukan hanya dengan memberi alasan ‘tidak sedia’ masyarakat.

DALAM BAB FATWA DAN PEMBERIAN HUKUM

Ini satu lagi kes yang lebih berat, ramai yang ilmu Usul Fiqhnya tiada, kontang ilmu kefahaman dalam bahasa arab, apatah lagi Usul Tafsir dan Hadith, tetapi berlagak seperti alim besar memberi fatwa hukum halal dan haram dalam urusan kewangan, jenayah atau ibadah dan sebagainya. Lebih merbahaya sehingga ada yang cuba menafikan kewibawaan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Antarabangsa.

Ini sangat tepat dengan kaedah yang menjadi fokus kita juga, iaitu apabila orang yang bukan ahli cuba mencampuri urusan yang dia tidak berkelayakan padanya, akibat dari itu, dia akan tersekat dari kebenaran serta jatuh dalam kesesatan. Lebih teruk, apabila dia merasakan pandangannya paling terpat berbanding semua ulama besar di dunia.

KESIMPULAN

Dari penulisan di atas, diharapkan kita semua lebih cermat dan bijaksana dalam menilai sama ada ‘masa’ yang sesuai telah tiba untuk berbuat sesuatu tindakan. Jika belum tiba waktu sesuai itu berusahalah mewujudkannya agar tindakan yang dilakukan dipasak oleh asas yang kukuh dan kuat.

Sabda Nabi s.a.w

التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

ERTINYA : Ketelitian itu datang dari Allah, dan tergesa-gesa itu adalah dari Syaitan (Riwayat At-Tirmizi, Al-Baihaqi, At-Tabrani, Abu Yu’la dengan pelbagai sanad, ada yang lemah dan hasan serta sohih. Albani menyimpulkannya sebagai sohih)



Pun begitu, nabi juga ada memberikan pengecualian, perkara yang perlu disegerakan tetapi bukan tergesa-gesa yang berasaskan kelalaian, iaitu :-

ثَلَاثٌ لَا تُؤَخِّرْهَا : الصَّلَاةُ إِذَا أَتَتْ ، وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ ، وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا

Ertinya : Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemuinya yang sesuai untuknya. (Riwayat At-Tirmizi )



Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

25 Mei 2011

UIAM, Gombak Baca Selengkapnya..

Sunday, June 5, 2011

Refleksi Bertunang Semasa Belajar





"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ustaz, saya ingin tanya satu soalan".
Mesej offline tiba-tiba muncul, sebaik sahaja penulis sign-in yahoo messenger.

"Just ingin minta pendapat sahaja".
"Saya ada berkawan dengan seorang lelaki dan dia juga merupakan pelajar di luar negara dalam Pengajian Islam. Dia mahu kami bertunang dalam fatrah kami masih student. Tapi saya tidak setuju, sebab kalau boleh saya nak habiskan belajar dahulu. Macam-macam alasan saya beritahu kepadanya untuk kebaikan bersama," tambah beliau (seorang perempuan yang disembunyikan identiti) lagi.

Dialog santai ini penulis terima dua minggu lepas, selepas usai menunaikan solat subuh di Masjid Syarifuddin El-Kurd. Ada beberapa tambahan kata-kata daripadanya, yang mana terkesan membaca beberapa sisipan artikel yang diterbitkan sebelum ini. Mungkin soalan nampak biasa-biasa sahaja, namun jenuh juga untuk menjawab mengikut situasi semasa. Kena tengok banyak sudut, baik dari sisi manfaat atau kesan buruk bila berlaku sedemikian. Boleh katakan kebanyakan dan lambakan e-mail yang penulis terima daripada para pembaca, adalah feedback daripada labels 'Keluarga Bahagia'. Berpeluh juga kalau fikir-fikirkan.

Kita semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedari bahawa sifat pasangan yang dianjuran Islam merupakan satu bentuk 'ilmu dalam pencarian' yang lazim diketahui umum. Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri yang solehah. Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia yang disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengelabui mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri yang solehah. Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki.

Walau apapun, tergerak juga rasa hati anda sudah sampai untuk melabuhkan tirai bujang, sebetulnya anda berhak perolehi satu pujian selepas melihat kondisi dan beberapa faktor yang memungkin anda berbuat sedemikian. Tahniah! Nabi bersabda; "Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi" ,(Hadith Riwayat Termidzi dan Ahmad) .

Definisi Pertunangan daripada Kaca Mata Islam

Ikatan sementara sebelum berlangsungnya sebuah akad nikah ini, sering kali disalah anggap oleh khalayak orang ramai khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi 'lesen besar' untuk melakukan maksiat, dengan alasan 'kami sudah bertunang'. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak, benar-benar terpatri. Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melangsungkan perkahwinan. Pertunangan banyak memberi faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai.

Pertunangan ialah satu langkah bagi seorang lelaki menyampaikan keinginannya untuk mengahwini seseorang perempuan yang disukainya samada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul, inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan.

Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latar belakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan Istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bertentangan dengan nilai murni dalam masyarakat Islam.

Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah di pihak lelaki menyembunyikan kekurangan atau kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya.

Bagi pasangan yang bertunang mereka juga perlu menjaga batas dan larangan sepanjang bertunang kerana mereka masih lagi bukan mahram cuma ada ikatan dan janji mahu hidup bersama. Kononnya, kata orang-orang dulu 'Mahu hidup semati'. Mungkin sudah ada dalam senyap-senyap, dikalangan para pembaca yang merancang untuk melangsungkan pertunangan. 'Mata air' di tanah air, diri pula di perantauan. Rasa macam tak boleh tahan, bimbang 'si dia' dikebas lelaki lain. Tidak pasal-pasal mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pula asyik mimpi 'si dia' sahaja, dan baca pun tak masuk. Rasa marah kadang-kadang pun ada. Sudah nasib badan.

"Boleh ke ustaz, bertunang masa belajar?". "Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!" Kalau nak mudah jawab, boleh sahaja penulis katakan;

"Tu...! Tengok je orang kahwin ketika masih belajar, tidak ada apa-apa pun. Inikan pula bertunang. Bertunanglah, kalau nak sangat". "Itukan sunnah juga. Kenapa nak takut sangat".

Mungkin anda pun boleh meneka juga jawapan seperti di atas, sudah maklum katakan. Tapi mungkin juga ada betulnya, dari sisi yang lain akan timbul kesan-kesan yang tidak baik. Namun penulis menganggap ianya salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Penulis rasa tidak ada masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain, kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh, Kalau bertunang dua tahun, sorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala sorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya.

Rasanya dua tahun tu sekejap sahaja, terutama untuk pihak lelaki yang bertanggungjawab untuk bersedia. Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu dan lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga kenal 'lobang' dan bulu hidung, manakala rambut pula tak disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Menolak tafsiran tekstual dan robotik. Namun di sana, anda kenalah sahut cabarannya juga. Kenapa? Bagi penulis, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang 'Islamik Romantik'. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga.

Matlamat Utama Jadi Sandaran

Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Pada penulis, kawalan diri kita tu paling utama. Kuat atau seseorang itu bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, Iman ditugaskan menjadi sebagai remote control bagi perlakuan kita. Jadilah remote control yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi Iman. Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. InsayaAllah, kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara' dalam menjaga batasan, insyaAllah semuanya baik dan tenang sahaja. Menyerahkan urusan kepada kedua ibu bapa juga membantu melancarkan proses secara all rounder.

Mungkin bagi sesetengah indivudu, banyak cabaran semasa bertunang, setengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah Taala berikan. Apa yang baik disyukuri, dan yang kurang diredhai. Baru betul! Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan parents atau orang tengah. Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan self-improvement.

Sebab ramai yang asyik dan mabuk di alam pertunangan, namun terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi. Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung dengan minimakan seminimanya. InsyaAllah, tiada resah gulana, dan tiada masalah. Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan.

Kita kena dan perlu ingat! Naluri seorang ibu sungguh bernilai bagi seorang anak. Cuba jentik hati anda. Adakah kita maksum dari segala dosa noda? Sekarang ini kita berjauhan dari kedua orang tua kerana seberkas ilmu. Pengorbanan perlu dilakukan demi kebahagian masa hadapan diri dan mereka. Layakkah kita mencari dan bertemu jodoh yang dapat dibimbing dan membimbing? Tapi memang itu harapan anda, kita semua. Selain mendapat pasangan yang mampu dibimbing dan membimbing kita, restu ibu bapa amatlah penting dalam membina masjid. Tidak perlulah kita membelakangi mereka hanya kerana cinta. Cinta yang entah 'suci dalam debu' atau 'suci dalam asap'. Kenanglah pengorbanan mereka yang tidak terbalas walaupun segunung emas menjadi taruhan. Bukan lirik lagu semata-mata, tapi sebuah harapan.

Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat! Sekarang orang yang ber'couple' pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia. Tanyakan diri anda (kita), kemanakah kewarasan kita dalam membuat pertimbangan? semoga Allah Taala masih memberi kita ruang waktu untuk bertaubat di hamparan keheningan malam dengan penuh kehinaan. Pohonlah keampunan dari-NYA.

Allah Taala berfirman; "Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." Surah al-Baqarah (2:186)

- Artikel iluvislam.com Baca Selengkapnya..

Saturday, May 21, 2011

Berkebajikan sebagai aset menghadapi akhirat | Blog Tok Guru

Berkebajikan sebagai aset menghadapi akhirat | Blog Tok Guru


1. Mengikut ajaran Al-Quran, dalam surah al-Mulk bererti Kerajaan. Semua Kerajaan hendaklah mengamalkan sistem yang sama dengan kehendak Kerajaan Allah Subhanahu wa Taala. Firman Allah (Al-Quran surah al-Mulk ayat 1):

Bermaksud: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai Kerajaan/pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

2. Allah Subhanahu wa Taala berkuasa buat dunia maka Dia juga penuh berkuasa membuat akhirat.

3. KPI dan standard adalah mengikut ukuran hukum Allah Subhanahu wa Taala, standard teramat baik (ahsan) harus sama dengan Islam, kalau tidak ia akan menjadi teramat jahat (aswauu).

4. Hikmah bersolat jamaah ialah ibadat dan dapat bertanya khabar hal ehwal kehidupan dengan masyarakat sekeliling.

5. Segala amalan dan pahala adalah saham (asset) dan pelaburan akhirat.

6. Namun kerana jarak kita dan Nabi Sallallahu alaihi wasallam adalah jauh, maka banyaklah rintangan serta halangan yang perlu kita tempuhi. Segala-galanya dapat dihadapi dengan kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah yang diwariskan oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam kepada kita.

7. Suci air hujan yang turun di puncak bukit biasanya akan berubah bila sampai di kuala sungai. Selalunya air itu akan keruh dan ada macam-macam di dalamnya kerana laluan airnya sepanjang sungai sejauh ribuan kilometer. Untuk minum perlulah ditapis.

8. Maka bila kita hendak terima atau menilai sesuatu agar benar-benar diterima Allah, gunalah tapisan bersandarkan Al-Quran dan as-Sunnah.

9. Sadaqah bermaksud benar, maka dengan memberi sedekah adalah satu manifestasi dan terjemahan iman seorang Muslim yang beribadat kepada Allah Subhanahu wa Taala.

10. Surah Al-Fatihah itu adalah ikrar dan bai’ah harian orang Mukmin atas lafaz syahadahnya.

11. Perintah pertama berkait Iqra’ adalah mula membaca ‘dengan Nama Tuhan Yang Maha Pemurah dan Pengasih,’ yang mencipta segala-galanya,

12. Manusia akan mati––berakhir riwayat dengan kematian––pengakhirnya adalah sama ada syurga atau neraka.

13. Di dalam surah Al-Hadid, disebut Iman dan Infaq secara beregu dan pakej. Firman Allah (Al-Quran surah al-Hadid ayat 7):

Bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.”

14. Hakikatnya manusia adalah penjaga harta milik penuh Allah Subhanahu wa Taala. Jadi manusia tidak perlu ragu dan lokek (kedekut) untuk membelanjakannya mengikut kehendak agama dan membantu orang lain.

15. Tiada ideologi dunia akan sebut pahala, hanya Allah Subhanahu wa Taala yang menyebut dan menerangkan mengenai pahala. Ini bermaksud Islam adalah mengutamakan pahala.

16. Oleh kerana itu, manusia yang belajar ideologi seperti sekular, nasionalis, sosialis atau sebagainya, akan sukar dan tidak memahami makna pahala dan kebangkitan semula selepas mati. Ini kerana secara logikanya manusia akan hancur sepenuhnya bila mati, maka apa gunanya pahala di sisi ideologi tersebut.

17. Salah satu jalan mencapai pahala adalah menjalankan aktiviti kebajikan. Antara yang harus diberi perhatian utama ialah menziarahi orang sakit dan mereka ditimpa bencana. Begitu juga mempersaudarakan antara insan/hamba Allah dan tolong-menolong adalah kerja agama yang perlu dibuat sepanjang masa. Natijahnya pahala yang diperolehi bakal membahagiakan pada hari akhirat.

18. Benarlah kata Khadijah Radiallahu anha, ketika Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pulang dari Gua Hira’, Nabi Sallallahu alaihi wasallam sebelumnya adalah seorang yang prihatin dan berkebajikan kepada kaum keluarga dan orang miskin. Begitu pula setelah menerima Islam dan menjadi Nabi, maka baginda tetap meneruskan amalan kebajikan dan berkhidmat untuk semua orang, malah diteruskan dengan lebih cemerlang dan terarah.

Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
merangkap Mursyidul Am PAS.

Kota Darulnaim,
KOTA BHARU.
18 Rabiul Akhir 1432/23 Mac 2011. Baca Selengkapnya..

Sunday, May 1, 2011

10 Tips Cemerlangkan Diri




1. Sediakan waktu khusus untuk membaca, memikirkan dan mengkaji bacaan anda. Bacaan sebaiknya diperluas dari sekadar bidang ilmu atau pekerjaan yang kita lalui semata. Meski hanya satu kata, berusahalah menyerap informasi baru. Sistematikkan cara berfikir dengan aktif, dan ia akan dapat terbentuk melalui bacaan yang terus menerus dan istiqamah. Jangan takut berkorban untuk membeli bahan bacaan yang bermanfaat, wujudkanlah mini library di rumah atau pejabat anda.

2. Khususkan waktu tertentu untuk menyendiri dan merenung sekitar 15 minit sehari. Waktu paling tepat sebelum subuh. Dengan duduk rileks, nafas teratur dan mata terpejam renungkanlah sesuatu tanpa perlu ada ‘judulnya’. Disertai dzikir lebih baik.

3.Pertahankan stamina spiritual anda melalui ibadah yang rutin. Seperti minima qiyammulail 4X seminggu, puasa sunnah 3X sebulan, solat berjamaah, membaca Al Qur’an 5 lembar sehari, dzikir pagi dan petang hari (mathurat) dan sebagainya.

4. Jagalah keadaan fizikal anda dengan makan teratur dan bergizi, istirehat cukup dan aktiviti riadah yang konsisten. Jika pekerjaan anda lebih banyak menggunakan otak, perbanyak protein dan vitamin, khususnya vitamin C. Buah yang paling bagus pengaruhnya terhadap otak adalah epal. Sementara itu, terlalu banyak tidur akan membuat anda mudah mengantuk. 4 jam tidur yang berkualiti sudah cukup bagi orang dewasa. Ketika bangun, bukalah mata perlahan dan jangan bangun terus dari tempat tidur. Biasakanlah berwudhu segera setelah bangun tidur untuk mengembalikan konsentrasi anda. Dada dan bahagian punggung ke belakang adalah bahagian fizikal yang sangat menentukan emosi kita. Push up sangat baik untuk kekuatan dada. Sedang memanah, berkuda dan berenang baik untuk tulang punggung. Amalkan jogging sekitar 4km, sekurang-kurangnya 3kali sehari.

5. Tingkatkan kepekaan emosional anda melalui kegiatan dengan masyarakat, membaca Sastera, novel atau cerpen islamis dan menikmati seni. Ini berguna untuk menghaluskan perasaan.

6. Buatlah perancangan ziarah dan lawatan tarbawi anda. Pastikan program lawatan, bercuti dan ziarah anda tidak sekadar menikmati pemandangan saja. Tentukan apa yang perlu anda ketahui tentang tempat tersebut dari aspek budayanya, ekonomi, sosialnya dan sebagainya. Pengetahuan pun bertambah.

7. Tingkatkan kawalan terhadap fikiran-fikiran yang memenuhi benak anda. Ini kerana, fikiran itulah yang mempengaruhi suasana jiwa dan melahirkan tindakan.

8. Biasakanlah mencatat gagasan-gagasan dan idealisma anda secara teratur. Dengan demikian anda telah melakukan proses pematangan idea. Kerana idea perlu diikat biar tidak lari kemana-mana, sedang memori manusia tidak cukup kuat untuk lama menyimpannya.

9. Biasakan lebih banyak diam dan mendengar daripada bicara. Ini adalah proses analisa. Bicarakan sesuatu hanya yang sudah anda fikirkan terlebih dahulu. Kurangi perkataan-perkataan ‘refleks’ atau hal yang tidak berfaedah atau tidak dalam tahap pengetahuan anda. Elakkan dari menjadi personaliti serba tahu, kerana kelak akan memakan diri.

10. Kawal emosi agar tetap tenang, tidak mudah terpengaruh sanjungan dan kritikan. Biasakan agar emosi anda tidak mudah terlihat melalui wajah, apalagi ucapan atau tangan. Kuasai diri anda, amalkan 3 sikap, sentiasa berlapang dada, sentiasa mengutamakan orang lain dari diri sendiri dan sentiasa bersangka baik. Baca Selengkapnya..

Saturday, April 16, 2011

Berjuang Tidak Sekadar Pilihanraya






1. Perjuangan kita tidak sekadar pilihanraya. Justeru itu, janganlah kita bertindak, bertugas, bekerja atau lebih jelas saya sebut, berjuang hanya pada musim pilihanraya. Sebaliknya pilihanraya itu hanyalah menepati sebahagian dari tugas wajib yang perlu kita lakukan. Ertinya di sana masih terlalu banyak perkara yang mesti kita lakukan bagi melengkapkan amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam yang kita dokong ini.

2. Sejurus selesai pilihanraya umum 2008, saya akui kita terpaksa sibuk dengan pilihanraya kecil. Kita hadapi 16 pilihanraya kecil dan saya secara peribadi berharap tiada lagi pilihanraya kecil sebelum kita menghadapi pilihanraya umum akan datang insyaallah, kecuali kita telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya Negeri Sarawak dan mungkin juga serentak dengan Negeri Perak.

3. Bukan kerana penat atau jemu lantaran prinsip kita berjuang ialah " sehingga Islam tegak berdaulat atau aku mati kerananya" , tetapi kerana bimbang kita hilang kesimbangan antara :

tumpuan masa mengendali strategi dan operasi untuk memenangi pilihanraya dan
tumpuan untuk mengkaderkan anggota jamaah agar layak dan menepati piawaian sebagai ansoorullah [ pejuang - pejuang agama Allah swt ].

4. Sebagai sebuah Gerakan Islam yang melibatkan diri secara rasmi dipentas politik di negara kita, kedua - kedua aspek tersebut sangat penting dan perlu diberi tumpuan seimbang. Pincang salah satu darinya, membuatkan kita hilang keseimbangan dan mudahlah kita tersungkur meskipun kita mendokong kebenaran.

5. Ambillah masa seketika yang kita miliki ini sementara hadhir pula detik pilihanraya selepas ini untuk kita memantapkan sekurang - kurangnya 3 perkara asas :

Pemantapan fikrah Islami yang syumul
Pengukuhan dan pemerkasaan parti [ organisasi ]
Pembinaan sumber manusia [ murabitun - ahli atau pimpinan ]

6. Ianya mesti bermula disemua peringkat organisasi parti. Bermula dengan pusat, negeri, kawasan , cawangan dan dewan - dewan disemua peringkat. Secara kebetulannya, parti kini sedang menghadapi mesyuarat agong di peringkat kawasan sebelum kemuncaknya muktamar di peringkat pusat pada bulan june ini. Mesyuarat agong dan muktamar tahun ini pula adalah tahun pemilihan.

7. Saya mengharapkan 3 perkara utama yang saya sebutkan diatas menjadi asas perbahasan dan muhasabah anggota parti selain membahaskan prestasi dan potensinya dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Juga menganalisa performance saff kepimpinan parti. Pencalonan dan pemilihan pimpinan parti mestilah diserah kepada mereka yang benar - benar mewarisi prinsip asas keupayaan pemimpin seperti :

amanah terhadap tanggungjawab,
setia kepada perjuangan Islam,
memiliki wibawa dan karisma yang menepati kehendak Islam
bekerja keras untuk memantapkan fikrah dan syakhsiyah Islam.

8. Hindarilah dari terjebak dalam sebarang bentuk konspirasi yang merosakkan keutuhan jamaah dan kesatuannya. Sebaliknyabantu jamaah agar ia semakin mantap dan kuat bersendikan ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh. Bukan menyusahkan jamaah dan mengkucar - kacirkannya dengan idea dan tindakan yang tidak menepati akhlak Islami.

9. Tidak dinafikan, antara perkara yang perlu jua diberikan tumpuan ialah mencari formula baru dan efektif guna menangkis segala tohmahan dan fitnah jahat dari musuh yang sememangnya mahu melemahkan jamaah dan memisahkan jamaah dari rakan - rakan parti kompenan dalam Pakatan Rakyat.

10. Kita mesti berfikir positif jika kita mahu jamaah yang kita dokong ini maju dan tabah meredah zaman yang semakin kompleks namun zaman ini memerlukan bahtera penyelamat. Fikir positif pada nokhtah - nokhtah di bawah insyaallah, sedikit sebanyak akan membantu jamaah kita mara selangkah kehadapan.

Jangan kecewa dan melatah kerana kalah pilihanraya.
Usah resah berdepan fitnah dan tohmahan musuh.
Segera selesaikan masaalah yang dihadapi oleh jamaah.
Bantu dan beri kepercayaan kepada pemimpin yang dipilih.
Hidupkan budaya tegur dan nasihat namun beradab.
Pamerkan akhlak Islami kepada kawan dan lawan.
Asaskan tindakan berpandu wahyu dan sunnah.
Senantiasa berfikir dan merangka strategi
Santuni masyarkat dan menangi hati mereka
dan banyak lagi ....



Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Baca Selengkapnya..

Template by:
Free Blog Templates