Thursday, October 29, 2009

Jangan Malu Menuntut Ilmu















عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ قَالَ فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنْ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ.

Maksud Hadith :

Daripada Abi Waaqid Allaithy R.A, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika mana Baginda sedang duduk di dalam masjid bersama-sama dengan kumpulan manusia (para sahabatnya dalam majlis ilmu) , tiba-tiba datang tiga orang, lalu dua orang terus menyertai majlis Rasulullah salallahu alaihi wa sallam dan seorang lagi pergi begitu sahaja(tanpa menyertai).Lalu kedua-dua orang itu berdiri (dekat halaqah), maka salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong di dalam halaqah ilmu tersebut lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang mereka dan manakala yang ketiga pula terus memalingkan punggung dan beredar pergi. Maka apabila Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam selesai ( memberi pengajian),
lalu Baginda bersabda : Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu ( tidak bersungguh-sungguh), maka Allah juga malu daripadanya(tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).

Hadith riwayat Al-Bukhari no: 64 , dengan lafaz daripadanya.


Keterangan ringkas:-

Orang yang hendak mendapatkan ilmu itu mesti bersungguh-sungguh memberikan perhatian kepada ilmu. Hendaklah dia berusaha semampu mungkin dengan daya yang dimilikinya untuk mendapatkan ilmu. Jangan malu untuk belajar dan jangan malas. Seseorang itu hendaklah mempunyai hati yang cekal dan tabah. Sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk menambahkan ilmu. Tidak perlu disuruh untuk belajar tetapi dia memang sentiasa siap sedia untuk belajar menimba sebanyak mungkin ilmu apabila ada kesempatan. Maka dengan kerajinan dan perhatian yang tinggi itu dia akan dapat mengumpulkan ilmu sebanyak mungkin.


Adapun mereka yang malas, mudah patah semangat, tidak berghairah dan sentiasa menunggu dorongan daripada orang lain, maka orang yang seperti ini jarang sekali dapat berjaya dalam usahanya mencari ilmu.

Jadi, sama-samalah kita betulkan niat, semaikan azam, dan bina semangat yang tinggi untuk berusaha mencari ilmu. Insya Allah.


Sumber : Artikel ini disunting dan diolah daripada buku Empat Puluh Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama karya Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam-iluvislam-

p/s : Selamat menghadapi peperiksaan akhir semester satu sidang 09/10..semoga dipermudahkan ALLAH dan bersyukurlah dengan keputusannya nanti..untuk sahabat2 dan teman2 seperjuangan,maafkan diri ini andai pernah mengguris hati kamu semua dan halalkan segalanya..terima kasih kepada semua dan gud luck for final exam. Baca Selengkapnya..

Wednesday, October 21, 2009

JANJI




Janji merupakan salah satu perkara biasa dalam kehidupan seorang
insan. Manusia melafazkan sesuatu janji semudah menyebut a,b,c. Janji
juga dilabadengan beberapa frasa atau gelaran khusus
seperti 'janji Melayu' dan sebagainya. Malangnya, kebanyakan manusia
kerap mungkir janji sekerap ia berbicara. Mengapakah terjadinya
fonemena ini ?

Islam menganggap janji adalah satu perkara yang besar. Menunaikan
janji adalah tanggungjawab insan. Adalah menjadi satu kesalahan dan
berdosa besar jika janji dimungkiri. Allah telah memasukkan kesalahan
mungkir janji sebagai dosa besar yang perlu dijauhi. Ia juga termasuk
dalam kategori ciri-ciri orang munafik.

Apabila kita merenung kepada janji-janji manusia di dalam al-Quran
dan Hadith khususnya golongan kafir atau munafiq, samakah janji
mereka dengan janji-janji orang yang beriman ? Kenapakah mereka
dihancurkan dan dijanjikan dengan neraka?


Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mungkir janji !!!
(sila lihat ayat 75-77 Surah At-Taubah sebagai contoh).

"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada
Allah:'Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada
kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-
orang yang soleh."[At-taubah:75]

"Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari
kurniaNya, mereka bakhil dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka
memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran)."[At-Taubah:76]

"Maka Allah menimbulkan perasaan munafik pada hati mereka sampai
kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri
terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepdaNya dan (juga)
kerana mereka selalu berdusta."[At-Taubah:77]

Sebagaimana manusia berjanji, Allah dan RasulNya turut berjanji.
Tetapi janji Allah dan RasulNya amat jauh bezanya dengan janji insan.
Manusia sering mungkir janji, malah seolah-olah menjadikannya sebagai
habit sedangkan janji Allah dan RasulNya sentiasa benar dan tepat.

Apakah janji Allah dan RasulNya ? Sesungguhnya janji Allah dan
RasulNya terlalu banyak....adalah terlalu mustahil untuk dicatatkan
kesemuanya. Di sini hanya dijelaskan beberapa janji tersebut sebagai
renungan kita bersama.

Sebagaimana yang kita ketahui, Islam asalnya agama terpencil dan
lemah. Kerdil di tengah-tengah keperkasan agama berhala ciptaan
manusia, ditindas oleh keangkuhan generasi jahiliyyah, lemas di bawah
siksaan dan tekanan masyarakat Quraisy. Dalam keadaan inilah, Allah
dan RasulNya menjanjikan ketinggian martabat dan kemuliaan maruah di
tengah-tengah masyarakat Jahiliyyah dengan syarat yakin sepenuh hati
dan mengamalkan ajaran Islam dengan ikhlas. Janji Allah dan RasulNya
benar-benar terjadi. Umat Islam yang benar-benar ikhlas dan patuh
bukan sahaja berjaya menyebarkan panji-panji Allah bahkan mereka
menjadi masyarakat yang mulia, digeruni dan dihormati di seluruh dunia.

Dalam perang Badar misalnya, bagaiamana jumlah tentera yang hanya 313
orang dapat mengalahkan 1000 orang walaupun tanpa kelengkapan yang
perang yang sempurna ! Senjata mereka hanyalah iman yang tidak
berbelah-bahagi kepada Allah. Semua ini tidak mustahil asalkan ada
pertolongan Allah. Ini janji Allah dan RasulNya.

Benarlah firman Allah dalam kitabnya :

"Sesiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti menolongnya"

Ketika Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah, orang
kafir dan munafiq telah menghasut orang Islam supaya tidak berhijrah
meningalkan harta, saudara, rakan dan kampung halaman. Menurut
mereka, adalah satu tindakan bodoh meninggalkan harta dan kesenangan
di Makkah dan memilih menjadi susah dan miskin di Madinah. Namun
Allah dan RasulNya menjanjikan rezeki dan kehidupan yang lebih
sempurna kepada mereka yang berhijrah.

Firman Allah SWT :

"Orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah dan orang-
orang yang membantu, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman.
Dan bagi mereka keampunan dan rezeki yang melimpah ruah" At-Taubah :20

Janji Allah dan RasulNya memang benar-benar tepat. Sampai saja mereka
di Madinah, mereka diberikan keistimewaan-keistimewaan yang tidak
diduga. Diberikan harta, dihadiahkan isteri, dipinjamkan modal,
dilayan seperti menteri, dijadikan rakan koprat dan dibantu serba-
serbi. Saidina Abdul Rahman Bin Auf menjadi jutawan selepas berhijrah
ke Madinah, hamba menjadi merdeka, golongan fakir semakin berkurangan
dan hidup mereka aman damai, tiada siksaan tiada penindasan. Inilah
janji Allah dan RasulNya, janji yang pasti !!!

Ketika dalam perjalanan hijrah, Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar
telah berjaya dikesan oleh salah seorang panglima Quraisy yang
bernama Suraqah b. Malik. Pihak Quraisy menghadiah ribuan ekor unta
kepada mereka yang dapat menangkap atau membunuh Rasulullah. Ketika
beliau menghampiri Rasulullah SAW dan Abu Bakar, tiba-tiba kudanya
terpesorok ke dalam tanah. Setelah dikeluarkan kaki kudanya dari
tanah tadi, beliau terus menyerbu ke arah Rasulullah, tetapi keadaan
yang sama telah belaku semula. Diulangnya beberapa kali dan setiap kali keadaan yang sama tetap berlaku.

Lalu Rasulullah mendakwahnya dengan Islam. Baginda berjanji
menghadiahkannya dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi jika Suraqah
masuk Islam.Bayangkan pada masa itu baginda baru hendak berhijrah ke
Madinah dan agama Islam masih kerdil, sedangkan kerajaan Parsi pada
masa itu adalah satu kuasa dunia ! Perbezaannya seperti langit
dengan bumi. Tetapi Rasulullah tetap yakin dengan masa depan Islam
bahawa Islam akan berkuasa, maka beliau berani menjanjikannya kepada Suraqah.

Janji Rasulullah SAW memang benar. Kerajaan Parsi akhirnya jatuh ke
tangan tentera Islam di zaman Khalifah Umar Al-Khatab. Saidina Umar
dengan linangan airmata kegembiraan dan tanda terharu betapa benarnya
janji Allah dan RasulNya menyerahkan gelang kebesaran kerajaan Parsi
tersebut kepada Suraqah b Malik sambil berkata :

"Alhamdulillah yang merampasnya (gelang kebesaran) dari Kisra
(maharaja) yang mengaku dirinya tuhan dan memakainya kepada Suraqah bin Malik".

Seterusnya Rasulullah berjanji bahawa Islam akan dapat menawan
Konstantinople (sekarang dikenali sebagai Istanbul di Turki).
Konstantinople adalah bandar strategik kerana ia merupakan jalan
masuk ke Eropah. Sesiapa yang menguasainya bermakna menguasai Asia
dan Eropah sekaligus. Baginda juga memberi pengiktirafan kepada
tentera yang berjaya menawannya sebagai tentera terbaik dan
pemimpinnya merupakan pemimpin yang terbaik. Janji Rasulullah SAW
tidak pernah dimungkiri, semuanya tetap berlaku. Sultan Muhammad Al-
Fatih telah berjaya menawan Konstantinople dan sekaligus merancakkan
lagi penyebaran agama Islam ke benua Eropah.

Jelas, janji-janji Allah dan Rasulnya memang tepat dan dikotakan.
Sesungguhnya di sana terdapat janji Allah yang lebih besar dan
penting kepada kehidupan insan. Janji yang pasti !!! Allah dan
RasulNya telah menjanjikan kehidupan di dunia dan akhirat yang
gemilang bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan
kehidupan yang sukar di qubur dan neraka bagi mereka yang ingkar.

Apakah tindakan kita ke arah itu ? Percayakah kita kepada janji Allah
tersebut ? Buktikannya dengan teori dan praktikal !!!

Kenapakah kita terlalu kedekut untuk membeli pahala yang dijanjikan
oleh Allah ? Apakah kita 'segan' untuk mendiami Syurga Allah ? atau
lebih selesa tinggal di neraka ? Tepuk dada tanyalah iman.

sumber:kiriman sahabat. Baca Selengkapnya..

Monday, October 12, 2009

Betulkah Wanita daripada tulang rusuk yang bengkok?





Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu ‘penyempurnaan’.Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna




“Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."

"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?" "Staf aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."

"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok! Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti takut patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis to bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik. "Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada ‘sayap kiri’ kepada masyarakat. Baginda ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri,
tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan.”

"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara ‘protes’ tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih `bengkok' daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"

"Orang perempuan yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu ‘penyempurnaan’.Sepertimana juga usus manusia yang berlipat- lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung'. la melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu "

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok' itu ialah sifat `rahmah'. “Ini bermakna bengkoknya wanita ialah sifat semulajadi yang Allah ciptakan untuk wanita agar dia dapat memainkan peranan yang tidak dapat dimainkan oleh lelaki. Orang perempuan itu sifat semula jadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan.”

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat.

"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar"

"Hmm, betul tu Naim." "Sebenarnya tiada siapa yang 'bengkok' mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."

"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar"

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok' daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok' daripada semua orang lain di muka bumi ini.Semoga sahabat2 mendapat manfaat daripada cerita di atas.Wassalam. Baca Selengkapnya..

Friday, October 9, 2009

Buatmu Ibu

Ibu.. bergenang airmataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa

Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu telah terkorban
Tak dapat ku balasi
Akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu

Ibu..kau ampunilah dosaku
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku

Tabahnya melayani kenakalan anakmu
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan

Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan


Kasihanilah, Tuhan
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana

Album : Kalimah Cinta
Munsyid : Aeman
http://liriknasyid.com


p/s : Ingatilah ibu yang telah bersusah payah melahirkan dan menjaga kita walau di mana sahaja dengan berdoa kepadaNya kerana Redha Allah terletak pada Redha ibu bapa.Mohonlah restu ibu bapa sebelum melakukan sebarang pekerjaan,moga urusan kita semua dipermudahkan Allah..Ameen. ^_^ Baca Selengkapnya..

Tuesday, October 6, 2009

Hampir - hampir ....

Bismillahirrahmanirrahim..

Tengah hari kelmarin terjadinya satu peristiwa yang yang hampir hampir mengundang padah.Peristiwa itu berlaku di atas jalan raya dan hari itu hujan renyai-renyai.Sebuah skuter tiba-tiba terbalik betul-betul di hadapan saya,sedikit sahaja lagi.Saya dari simpang empat di Sungai Dua mahu menuju ke kampus. Sebelum kereta melintas,mata ini cuba melihat kanan dan kiri.Tengok sekali,ok,tiada kenderaan,bila tengok sekali lagi tiba-tiba wujud sebuah skuter yang memecut laju ke arah saya yang sudah bersedia untuk melintas,Alhamdulillah kaki ini sempat membrek dan BANG!!!Skuter yang laju tadi tiba-tiba berada di hadapan saya,penunggang itu jatuh bersama skuternya,saya tergamam sebentar sementara orang lain yang memerhatikan kejadian itu terus meluru ke arah pemuda cina yang sedang menahan kesakitan , beberapa orang lagi cuba mengangkat skuternya dan saya terus keluar dari kereta untuk melihat keadaan penunggang.

Kelihatan kakinya sedikit tercalar kerana hentaman ke atas jalan raya,saya bertanya adakah dia mahu saya membawanya ke hospital,namun dia kata tidak apa dan dalam masa yang sama dia terus memecut kembali skuternya.Nampaknya dia nak cepat dan dan semasa saya melihat untuk kali kedua sebelum melintas pun,dia sememangnya menunggang dengan sangat laju walaupun berada di simpang empat.Mungkin masa itu jalan raya licin dan dia tidak dapat mengawal skuternya walaupun cuba membrek dengan mengejut.Saya sendiri tidak tahu bagaimanalah kalau diri ini tidak sempat membrek,memang tragis.Nasib baik kereta ini tidak menyentuh sedikit pun skuternya,kalau tidak mungkin sudah menjadi kes polis.Syukur sangat2.Sememangnya,sejak berada di Penang ini,sudah banyak saya lihat penunggang motor menunggang dengan bahaya,sudah kalis dengan sikap mereka ini.

Skuter pemuda ini nampaknya masih baru tapi kelmarin cermin sisinya sudah pun pecah akibat kejadian tangah hari kelmarin.Timbul rasa kasihan juga tapi nak buat macam mana ,benda sudah jadi. saya sendiri tidak tahu siapa yang salah dalam hal ini.Namun sebelum saya,dia dan orang ramai bersurai seorang pak cik tua ada memberi nasihat ,katanya ‘jangan bawa laju-laju,jalan licin’.Tidak tahu samada ia ditujukan kepada saya atau pun penunggang itu.Tidak kiralah siapa yang ditujukan,kita sebenarnya sebagai pengguna jalan raya seharusnya sedar akan tanggungjawab kita menjaga keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Sebenarnya segala ujian yang berlaku boleh mematangkan diri dan Allah hanya menguji hambaNya sesuai mengikut kemampuannya.FirmaNnya dalam surah Al-Baqarah ayat 286,”Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai mengikut kesanggupannya.” Jadi ,wahai sahabat – sahabat ,setiap kerja yang akan dilakukan mempunyai cabaran dan ujian yang tersendiri ,kalau mahu menjadi seorang pelajar yang cemerlang,ada cabarannnya,kalau mahu menjadi penyambung mata rantai dakwah Rasulullah S.A.W juga ada durinya dan kalau mahu menjadi pengguna jalan raya yang baik juga ada risikonya.Semoga mendapat sedikit iktibar daripada kisah ini dan maaf jika ada terkurang dalam menulis.Wassalam. Baca Selengkapnya..

Template by:
Free Blog Templates