Wednesday, October 21, 2009

JANJI




Janji merupakan salah satu perkara biasa dalam kehidupan seorang
insan. Manusia melafazkan sesuatu janji semudah menyebut a,b,c. Janji
juga dilabadengan beberapa frasa atau gelaran khusus
seperti 'janji Melayu' dan sebagainya. Malangnya, kebanyakan manusia
kerap mungkir janji sekerap ia berbicara. Mengapakah terjadinya
fonemena ini ?

Islam menganggap janji adalah satu perkara yang besar. Menunaikan
janji adalah tanggungjawab insan. Adalah menjadi satu kesalahan dan
berdosa besar jika janji dimungkiri. Allah telah memasukkan kesalahan
mungkir janji sebagai dosa besar yang perlu dijauhi. Ia juga termasuk
dalam kategori ciri-ciri orang munafik.

Apabila kita merenung kepada janji-janji manusia di dalam al-Quran
dan Hadith khususnya golongan kafir atau munafiq, samakah janji
mereka dengan janji-janji orang yang beriman ? Kenapakah mereka
dihancurkan dan dijanjikan dengan neraka?


Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mungkir janji !!!
(sila lihat ayat 75-77 Surah At-Taubah sebagai contoh).

"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada
Allah:'Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada
kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-
orang yang soleh."[At-taubah:75]

"Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari
kurniaNya, mereka bakhil dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka
memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran)."[At-Taubah:76]

"Maka Allah menimbulkan perasaan munafik pada hati mereka sampai
kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri
terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepdaNya dan (juga)
kerana mereka selalu berdusta."[At-Taubah:77]

Sebagaimana manusia berjanji, Allah dan RasulNya turut berjanji.
Tetapi janji Allah dan RasulNya amat jauh bezanya dengan janji insan.
Manusia sering mungkir janji, malah seolah-olah menjadikannya sebagai
habit sedangkan janji Allah dan RasulNya sentiasa benar dan tepat.

Apakah janji Allah dan RasulNya ? Sesungguhnya janji Allah dan
RasulNya terlalu banyak....adalah terlalu mustahil untuk dicatatkan
kesemuanya. Di sini hanya dijelaskan beberapa janji tersebut sebagai
renungan kita bersama.

Sebagaimana yang kita ketahui, Islam asalnya agama terpencil dan
lemah. Kerdil di tengah-tengah keperkasan agama berhala ciptaan
manusia, ditindas oleh keangkuhan generasi jahiliyyah, lemas di bawah
siksaan dan tekanan masyarakat Quraisy. Dalam keadaan inilah, Allah
dan RasulNya menjanjikan ketinggian martabat dan kemuliaan maruah di
tengah-tengah masyarakat Jahiliyyah dengan syarat yakin sepenuh hati
dan mengamalkan ajaran Islam dengan ikhlas. Janji Allah dan RasulNya
benar-benar terjadi. Umat Islam yang benar-benar ikhlas dan patuh
bukan sahaja berjaya menyebarkan panji-panji Allah bahkan mereka
menjadi masyarakat yang mulia, digeruni dan dihormati di seluruh dunia.

Dalam perang Badar misalnya, bagaiamana jumlah tentera yang hanya 313
orang dapat mengalahkan 1000 orang walaupun tanpa kelengkapan yang
perang yang sempurna ! Senjata mereka hanyalah iman yang tidak
berbelah-bahagi kepada Allah. Semua ini tidak mustahil asalkan ada
pertolongan Allah. Ini janji Allah dan RasulNya.

Benarlah firman Allah dalam kitabnya :

"Sesiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti menolongnya"

Ketika Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah, orang
kafir dan munafiq telah menghasut orang Islam supaya tidak berhijrah
meningalkan harta, saudara, rakan dan kampung halaman. Menurut
mereka, adalah satu tindakan bodoh meninggalkan harta dan kesenangan
di Makkah dan memilih menjadi susah dan miskin di Madinah. Namun
Allah dan RasulNya menjanjikan rezeki dan kehidupan yang lebih
sempurna kepada mereka yang berhijrah.

Firman Allah SWT :

"Orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah dan orang-
orang yang membantu, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman.
Dan bagi mereka keampunan dan rezeki yang melimpah ruah" At-Taubah :20

Janji Allah dan RasulNya memang benar-benar tepat. Sampai saja mereka
di Madinah, mereka diberikan keistimewaan-keistimewaan yang tidak
diduga. Diberikan harta, dihadiahkan isteri, dipinjamkan modal,
dilayan seperti menteri, dijadikan rakan koprat dan dibantu serba-
serbi. Saidina Abdul Rahman Bin Auf menjadi jutawan selepas berhijrah
ke Madinah, hamba menjadi merdeka, golongan fakir semakin berkurangan
dan hidup mereka aman damai, tiada siksaan tiada penindasan. Inilah
janji Allah dan RasulNya, janji yang pasti !!!

Ketika dalam perjalanan hijrah, Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar
telah berjaya dikesan oleh salah seorang panglima Quraisy yang
bernama Suraqah b. Malik. Pihak Quraisy menghadiah ribuan ekor unta
kepada mereka yang dapat menangkap atau membunuh Rasulullah. Ketika
beliau menghampiri Rasulullah SAW dan Abu Bakar, tiba-tiba kudanya
terpesorok ke dalam tanah. Setelah dikeluarkan kaki kudanya dari
tanah tadi, beliau terus menyerbu ke arah Rasulullah, tetapi keadaan
yang sama telah belaku semula. Diulangnya beberapa kali dan setiap kali keadaan yang sama tetap berlaku.

Lalu Rasulullah mendakwahnya dengan Islam. Baginda berjanji
menghadiahkannya dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi jika Suraqah
masuk Islam.Bayangkan pada masa itu baginda baru hendak berhijrah ke
Madinah dan agama Islam masih kerdil, sedangkan kerajaan Parsi pada
masa itu adalah satu kuasa dunia ! Perbezaannya seperti langit
dengan bumi. Tetapi Rasulullah tetap yakin dengan masa depan Islam
bahawa Islam akan berkuasa, maka beliau berani menjanjikannya kepada Suraqah.

Janji Rasulullah SAW memang benar. Kerajaan Parsi akhirnya jatuh ke
tangan tentera Islam di zaman Khalifah Umar Al-Khatab. Saidina Umar
dengan linangan airmata kegembiraan dan tanda terharu betapa benarnya
janji Allah dan RasulNya menyerahkan gelang kebesaran kerajaan Parsi
tersebut kepada Suraqah b Malik sambil berkata :

"Alhamdulillah yang merampasnya (gelang kebesaran) dari Kisra
(maharaja) yang mengaku dirinya tuhan dan memakainya kepada Suraqah bin Malik".

Seterusnya Rasulullah berjanji bahawa Islam akan dapat menawan
Konstantinople (sekarang dikenali sebagai Istanbul di Turki).
Konstantinople adalah bandar strategik kerana ia merupakan jalan
masuk ke Eropah. Sesiapa yang menguasainya bermakna menguasai Asia
dan Eropah sekaligus. Baginda juga memberi pengiktirafan kepada
tentera yang berjaya menawannya sebagai tentera terbaik dan
pemimpinnya merupakan pemimpin yang terbaik. Janji Rasulullah SAW
tidak pernah dimungkiri, semuanya tetap berlaku. Sultan Muhammad Al-
Fatih telah berjaya menawan Konstantinople dan sekaligus merancakkan
lagi penyebaran agama Islam ke benua Eropah.

Jelas, janji-janji Allah dan Rasulnya memang tepat dan dikotakan.
Sesungguhnya di sana terdapat janji Allah yang lebih besar dan
penting kepada kehidupan insan. Janji yang pasti !!! Allah dan
RasulNya telah menjanjikan kehidupan di dunia dan akhirat yang
gemilang bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan
kehidupan yang sukar di qubur dan neraka bagi mereka yang ingkar.

Apakah tindakan kita ke arah itu ? Percayakah kita kepada janji Allah
tersebut ? Buktikannya dengan teori dan praktikal !!!

Kenapakah kita terlalu kedekut untuk membeli pahala yang dijanjikan
oleh Allah ? Apakah kita 'segan' untuk mendiami Syurga Allah ? atau
lebih selesa tinggal di neraka ? Tepuk dada tanyalah iman.

sumber:kiriman sahabat.

0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates