Thursday, April 2, 2009
Tugas Pewaris Para Nabi
Di antara tujuan Allah SWT memerintahkan Nabi s.a.w. supaya berdakwah kepada kaum
kelauarganya yang terdekat, ialah untuk memberi isyarat tentang peringkat tanggungjawab dakwah kepada setiap orang Islam secara umum, dan mereka yang terlibat dengan "As-Habud Dakwah"secara khususnya.
Justeru itu adalah suatu kewajipan sebagai da'eiyyah supaya mereka mengetahui sasaran, di samping sasaran dakwah kepada umum maka perhatian mesti diberikan kepada kaum kelauarga terdekat.Tidak memada hanya berdakwah kepada umum sedangkan di kalangan keluarga terabai, ataupun hanya tertumpu kepada keluarga sedangkan orang ramai dilupakan. Sesungguhnya tanggungjawab yang paling dekat ialah kepada diri sendiri, iaitu kewajipan untuk menjadikan diri berilmu. Justeru selepas Nabi menerima wahyu pertama, kemudian berlaku jarak masa yang agak lama untuk turunnya wahyu berikutnya. Tempoh masa itu memberi peluang masa secukup kepada Nabi s.a.w. supaya berfikir bahawa apa yang diterimanya di gua Hirak itu adalah sebenarnya wahyu dari Allah SWT. Ia bukanlah igauan sebagaimana yang didakwa oleh golongan musytasyrikin.
Dengan wahyu pertama itu juga memberi peluang kepada Nabi s.a.w. untuk menguasai ilmu sebagai satu kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT sendiri, sehingga beliau yakin bahawa dirinya adalah seorang Nabi dan juga Rasul Allah.Dengan demikian, sebagai suatu persediaan untuk menerima wahyu-wahyu berikutnya dari Allah SWT sama ada wahyu itu berbentuk dasar hidup, peraturan hidup dan juga berbentuk hukum-hakam.Yang dimaksudkan dengan dasar hidup ialah sebagai hamba Allah Taala. Sebagai makhluk dan sebagai orang Islam, tidak boleh melakukan sesuatu kecuali selaras dengan kehendak dan peraturan Allah SWT. Ini bererti tiada seorang manusia boleh hidup bebas secara mutlak di atas dunia ini, melainkan di dalam lingkungan yang diizinkan oleh peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:"Rasul telah beriman dengan Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya..." (Surah al-Baqarah ayat 285).
Ayat tersebut mengajar Rasul-Nya supaya dia sendiri benar-benar beriman dengan wahyu Allah yang diturunkan kepadanya. Sebelum Rasul menyampaikan dan mengajar orang lain maka terlebih dahulu dia benar-benar beriman dan penuh keyakinan dengan apa yang hendak disampaikan itu. Setelah Rasul itu beriman barulah dia menyeru orang lain supaya beriman bersamanya. Kepada orang-orang yang tidak sanggup beriman, pasti dihadapkan soalan kepada mereka, menagapa mereka tidak bersedia beriman.
Mereka mesti memberikan alasan, jika tidak terdaya mengemukakan alasan dan hujjah mereka mesti menerima apa yang telah disampaikan kepadanya. Inilah dasar Islam menghendaki sesuatu keyakinan itu mempunyai alasan, sebaliknya jika hendak menolaknya juga mesati dengan alasan dan hujjah. Selepas seseorang itu beriman dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT, maka kewajipan berikutnya ialah untuk menyampaikan dan menjelaskan apa yang diimani itu kepada ahli keluarganya dan orang-orang yang berteduh di bawah payung kekeluargaannya sama ada anak-anak dan cucu serta siapa jua yang berada di bawah jagaannya. Dari segi beban kewajipan itu, setiap orang Islam sama saja tanggungjawab mereka setelah menyiapkan diri dengan ilmu, mereka mesti memberitahu orang lain ilmu pengetahuan yang ia miliki dan keimanan yang ada pada dirinya, orang Islam tidak boleh beramal sedirian tanpa mengajak dan menyeru orang lain.
Tidak ada beza antara seorang nabi dengan seorang pendakwah dari segi keawajipan menyampaikan ilmu dan mengajar orang lain, hanya bezanya nabi mengajar apa yang diterimanya secara langsung syarak dari wahyu Allah. Tetapi orang-orang Islam berdakwah berasaskan apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w..Jangan ada orang yang mendakwa dirinya menyampaikan ilmu terus dari Allah SWT sebagaimana Nabi s.a.w. menerimanya, kerana wahyu tidak turun selepas wafat Nabi s.a.w..Begitu juga tidak boleh seseorang itu mendakwa menyampaikan ilmu berdasarkan mimpi, walaupun yang diperolihi dari mimpi itu sejajar dengan agama, ia sekadar boleh diamal untuk diri sendiri sekiranya tidak bercanggah dengan Islam.
Sesungguhnya Islam itu berasaskan kepada al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qias, tidak boleh ditambah pula dengan mimpi.Sebagaimana Nabi tidak boleh berdiam diri tanpa menyampaikan apa yang diterimanya melalui wahyu, maka demikian juga tidak boleh orang Islam sebagai ketua keluarga berdiam diri tanpa berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada kaum keluarganya pengetahuan yang ada pada dirinya. Seorang ketua keluarga tidak wajar mengharap orang lain mengambil alih tugas untuk mendidik dan mengajar agama keluarga serta anak-anaknya.
Kewajipan ketua keluarga bukan sekadar memberi makan, sebaliknya memastikan bahawa keluarga dan anak-anak mereka terasuh dengan ilmu agama. Justeru ketua keluarga wajib secara lunak atau keras memastikan anak-anak dan keluarga berada di atas landasan agama. Mereka akan disoal di akhirat.Orang alim mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan tanah airnya, dan hakim (orang yang berkuas dalam negara) juga mempunyai tanggungjawab sebagaimana tanggungjawab Nabi untuk berdakwah kepada orang ramai dan keluarga mereka yang terdekat, kerana merekalah waris rasmi kepada para nabi a.s..
Nabi bersabda yang bermaksud :"Ulama adalah waris para nabi". Sebagaimana Nabi adalah seorang yang alim, maka orang yang memegang tampuk kekuasaan sesebuah negara mesti seorang yang alim kerana mereka mempunyai kewajipan melaksanakan apa yang telah dilaksanakan oleh Nabi. Jika mereka tidak alim maka dalam melaksanakan tugasnya pasti mereka tidak akan mewarisi tugas Nabi, sebaliknya mewarisi dasar musuh-musuh Nabi. Akibatnya rakyat tidak akan selamat di dunia mahupun akhirat.
Tazkirah
Jumaat 17 Ramadhan 1418/16 Januari 1998
Oleh Tuan guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment