Thursday, April 2, 2009

Ucapan menarik golongan munafik

Orang-orang munafiq memang menarik ucapan lidah mereka, segala bicara dan ungkapan
yang dikeluarkan daripada cakap-cakap mereka itu boleh menarik minat para pendengar dan juga boleh menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama dengan mereka dalam satu barisan.Mereka mempunyai pelbagai idea untuk didedahkan dan dijadikan suatu isu semata-mata untuk menarik perhatian umum.

Orang-orang munafiq juga mempunyai program atau rancangan hidup mereka tersendiri yang digariskan menurut hawa nafsu dan tidak pula berpandukan kepada Syariat Ilahi. Walaupun kebanyakan ungkapan-ungkapan yang dikeluarkan menyatakan hasrat mereka untuk berkompromi bersama-sama dengan orang-orang Islam dalam satu angkatan, tetapi bicara itu cuma olok-olok sahaja.

Apabila mereka kembali kepada "syaitan-syaitan" mereka yang menjadi teman rapat lalu mereka menyatakan hasrat sebenar di hati mereka bahawa ungkapan-ungkapan yang mereka nyatakan untuk bersama-sama dengan orang beriman adalah palsu belaka. Allah Taala menggunakan perkataan syaitan dalam uslub firman-Nya yang bermaksud:
Apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka. Dan ini adalah suatu uslub yang
dibicarakan oleh Allah Taala terhadap mereka yang melakukan kejahatan di atas bumi bertujuan
untuk menakut-nakutkan mereka dan di samping memberi penghinaan terhadap kerja-kerja yang
mereka lakukan.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Di antara manusia ada yang sungguh menarik perkataannya apabila berbicara tentang kehidupan di dunia, Allah menyaksikan apa yang terkandung di dalam hatinya, sedangkan mereka adalah musuh yang paling keras. Apabila mereka berjalan di atas bumi, mereka melakukan kerosakan dengan membinasakan tanaman dan ternakan, padahal Allah tidak suka kepada kerosakan." (Surah al-Baqarah: 204-205).

Ayat ini diturunkan kepada Al Akhnas bin Syuraiq As Thaqafi dari keturunan Bani Zahrah. Beliau datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan mengiklankan keislamannya di hadapan baginda. Bicara perkataan yang diucapkannya di hadapan Rasulullah s.a.w. sungguh menarik dan sungguh menakjubkan baginda s.a.w. seolah-olah beliau benar-benar inginkan cahaya petunjuk untuk menyinari kehidupannya dan untuk dijadikan pedoman kepada laluan jalan kehidupannya seharian.

Di antara ucapannya ialah yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku datang (kepadamu wahai Muhammad) kerana mahukan Islam dan Allah
mengetahui sesungguhnya aku adalah benar."
Tetapi, apabila ia pergi meninggalkan Rasulullah s.a.w. lalu ia masuk ke kebun-kebun yang dimiliki oleh orang-orang Islam dan merosakkannya serta membakar tanaman mereka dan kemudian Allah menurunkan firman-Nya sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi yang bermaksud:
"Apabila mereka berjalan di atas bumi, mereka merosakkan tanaman dan ternakan, sedangkan
Allah tidak menyukai kerosakan."

Ayat yang difirmankan oleh Allah Taala itu terlalu jelas untuk difahami maksud isi kandungannya dan huraian pengertiannya dan demikianlah bahawa Allah Taala tidak sekali-kali suka kepada kerosakan yang berlaku di atas dunia ini akibat dari perbuatan tangan-tangan manusia yang durjana terhadap harta benda termasuk tanaman dan ternakan, sebagaimana yang telah dilakukan oleh musuh-musuh-Nya semata-mata bertujuan untuk memusnahkan ajaran Islam daripada menjadi anutan manusia dan daripada ianya terus tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
Sifat ketiga Melakukan tipu daya

Tipu daya yang dilakukan oleh golongan munafiqin adalah untuk memusnahkan harapan
orang-orang Islam supaya mereka meninggalkan semua sekali segala rupa bentuk manhaj Ilahi dan bangun memberontak menentang manhaj yang bercanggah dengan ideologi ciptaan mereka.

Di kalangan orang-orang Islam yang lemah keimanannya akan mudah terpedaya dan merasa akur terhadap tindakan barisan munafiqin yang sedemikian rupa, sebaliknya mereka yang mempunyai keimanan yang kukuh dan aqidah yang tidak berbelah bagi akan menutup mulut-mulut golongan tersebut daripada bercakap dan melontarkan sebarang tipu daya serta dakyah yang boleh memecah belahkan integrasi umat Islam sejagat.
Memang menjadi kenyataan, bahawa golongan munafiqin mengambil teori jahiliyyah sebagai panduan hidup dan sebagai sebuah ideologi anutan setelah dicampur-adukkan dengan pelbagai unsur, termasuk dari peranan hawa nafsu mereka dan juga unsur-unsur kekafiran. Justeru itu, mereka yang berkompromi dalam agen tersebut, sekalipun tidak menjadi rakan kongsi mereka atau tidak menjadi pengikut setia mereka sepenuh masa, cuma hanya memberi saham dalam kerja-kerja mereka, aqidah tetap akan menjadi punah ranah walaupun hanya memberi saham, kerana itu semua adalah dilarang oleh Allah.

Saham yang diberikan itu melayakkan diri mereka untuk dihumbankan ke ceruk neraka jahanam yang menjadi bahan pembakarnya ialah golongan munafiqin dan kafirin. Mereka semua adalah golongan yang sesat dan menyesatkan, justeru tidak mahu menerima petunjuk yang datang dari Ilahi. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, tetapi mereka menipu diri mereka
sendiri, sedangkan mereka tidak sedar. Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan lagi kepada mereka penyakit, bagi mereka azab yang pedih disebabkan mereka
berdusta."(Surah Al-Baqarah: 9-10).

Keangkuhan manusia yang tidak mahu menterjemahkan nilai-nilai akhlaknya dan pekerti hidupnya supaya bertepatan dengan nilai-nilai akhlak dan pekerti hidup Islam atau juga tidak mahu menterjemahkan program kehidupannya supaya bersesuaian dengan program kehidupan Islam adalah disebabkan oleh penyakit yang tertanam di dalam lubuk hati mereka dan ianya tidak boleh diubati oleh mana-mana pakar perubatan moden hari ini.

Seolah-olah gejala penyakit yang merebak ke dalam tubuh badannya tidak lagi boleh dipisahkan atau diasingkan di antara satu sama lain daripada terus melekat di dalam kehidupannya, tetapi yang anehnya mereka tidak menyedari langsung gejala penyakit yang merebak ke dalam tubuh badannya. Dengan wujudnya penyakit itu, ia cuba memainkan peranan menipu Allah dan juga orang-orang beriman, mereka menyangka bahawa perbuatan itu dapat meraih hasil kejayaan dan tercapailah hasrat impiannya untuk memusnahkan Islam dari anutan manusia sejagat, tetapi perbuatan itu hanyalah untuk menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Allah Taala berfirman lagi yang bermaksud:
"Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka menyatakan: "Kami beriman!" Dan setelah mereka berada sesama mereka lalu mereka berkata: "Mengapa kamu khabarkan kepada mereka (orang-orang Islam) apa yang dibukakan Allah kepada kita? Kerana nanti mereka akan mengalahkan kita dengan itu di sisi Tuhan? Tidakkah kamu berfikir?" (Surah
al-Baqarah: 76).

Ketika Nabi s.a.w berada di daerah Bani Quraizah dan berdiri di tepi perkampungan mereka, baginda s.a.w melaung suara memanggil mereka yang bermaksud:
"Wahai kawanan kera dan babi, wahai hamba thaghut." Apabila mereka mendengar teriakan
Rasulullah s.a.w. yang memanggil mereka kera dan babi, lalu mereka bertanya yang bermaksud:
"Siapakah yang memberitahu kepada Muhamad tentang perkara ini? Kalimah-kalimah itu tidak
keluar dari Muhamad kecuali kamu yang memberitahu kepadanya.
"Rupa-rupanya mereka tidak mengetahui bahawa Allah Taala itu Maha Mengetahui terhadap apayang mereka sembunyikan dan Dia menyampaikan segala apa sahaja rahsia-rahsia yang mereka sembunyikan itu kepada Rasul utusan-Nya sebagai suatu amaran kepada musuh-musuh Allah supaya jangan lagi melakukan tipu daya kepada Rasul-Nya dan juga para sahabatnya yang berjuang menegakkan kalimah Allah. Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang munafiq yang bersikap cuba melakukan tipu daya kepada para pejuang Islam, tetapi sebenarnya Allah Taala telah menipu mereka pula. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah sedangkan Allah menipu mereka pula." (Surah An-Nisa': 14).
Oleh LUTPI MUSTAFA Universiti al-Azhar



0 comments:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates