Thursday, March 12, 2009

TASAWWUR TARBIYYAH ISLAMIYYAH

Firman Allah swt :
يأيها الذين أمنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجاهدوا في سبيله لعلكم تفلحون
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapat keuntungan.”
( Al-Maidah : 35 )

Dalam ayat yang di atas Allah memerintahkan manusia mencari segala jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berusaha mendapatkan keredhaanNya. Atas dasar memenuhi tuntutan inilah, kefahaman tarbiyyah ditegakkan. Tarbiyyah merupakan segala usaha yang dilakukan ke arah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah. Justeru, ia melibatkan segala usaha yang melibatkan pendidikan, pengalaman, penglibatan dalam perjuangan Islam.




 Melahirkan Umat Yang Mempunyai Ta’alluq Billah (Hubungan Dengan Allah) Yang Kuat.
Ini bermaksud Tarbiyah Islamiyyah bertujuan melahirkan satu generasi para du’at (pendakwah) yang bertaqwa dan bersungguh-sungguh dalam berdakwah menegakkan agama Islam. Ta’alluq bilLah bermaksud Tarbiyah Islamiyah yang melahirkan insan yang hatinya hidup dan bergantung pada Allah.

 Melahirkan Insan Muttaqin (gerun dan cinta) Yang Menyerah Diri Sepenuhnya Kepada Allah.
Dalam pentarbiyyahan ini, seseorang insan itu tidak akan sanggup melakukan perbuatan yang tidak diredhai Allah. Seseorang itu bukan sekadar takut kepada Allah malah cinta, kasih, berharap, cemas, tawakkal, redha, sabar dan sebagainya sehingga melahirkan insan yang sanggup berkorban apa sahaja demi Allah dan agamaNya.

 Melahirkan Para Mukmin Yang Menghayati Agama Islam.
Mukmin yang menghayati agama ialah orang-orang yang perasaan, percakapan dan tindakan mereka telah dikuasai ruh keimanan kepada Allah. Mereka ini tidak akan bertindak mengikut hawa nafsu dan sentiasa memuhasabah setiap perkara yang telah mereka lakukan pada hari-hari sebelumnya. Sepertimana kata-kata Saidina Umar :

“ Hitunglah diri kau sebelum dihitung dan timbangkanlah amalan kamu sebelum ditimbang. ”







1. TauhiduLLah (mengesakan Allah)
Ini mendororng tindakan bersifat tajarrud (mengasingkan) iaitu bersih dari sebarang pengaruh mana-mana pihak yang mempersekutukan Allah dan membawa ideologi yang bertentangan dengan Islam.

2. Nubuwwah (berlandaskan apa yang dibawa oleh para nabi)
Ia membezakan antara tarbiyyah jahiliyyah yang berlandaskan akal dan nafsu semata-mata berbanding dengan tarbiyyah nubuwwah yang dibawa terus daripada Rasulullah junjungan yang berdasarkan wahyu dan petunjuk Ilahi.

3. Al Hasyr wal Jaza’ (hari manusia dikumpul dan diberi pembalasan).
Tarbiyyah Islamiyyah tidak meletakkan dunia sebagai matlamat akhir tetapi ia tidak memutuskan rantaian dunia dan akhirat. Dengan pentarbiyahan ini seseorang itu tidak akan sentiasa mengingati mati dan berhati-hati dalam kehidupan di dunia. Tarbiyyah ini juga menghalang seseorang daripada melakukan kerosakan di atas muka.






1. Tarbiyyah ‘Aqliyyah

Mendidik dan mengajar ahli untuk memimpin akal untuk berfikir, memberikan pandangan dan tafaqquh (mendalami) ilmu secara vertikal(memperluas) dan horizontal(memperdalam).

 Tuntutan kepada ahli :
i. Melatih akal supaya boleh berfikir dan merancang untuk kepentingan agama.
ii. Menghindar diri dari budaya taqlid (mengikut secara membuta tuli).
iii. Mendidik akal mengkaji sumber-sumber syari’ah (al-qur’an dan as-sunnah) dan melatih diri mengaplikasikannya berdasarkan keperluan dan kesesuaian semasa.
iv. Berlatih mendengar dan meraikan pandangan saudara sesama Islam, dan mempertimbangkan pandangan tersebut berlandaskan syara’.
v. Berlatih untuk mengembangkan pemikiran (pemikiran lateral) dalam ruang lingkup yang dibenarkan Syara’.
vi. Memperdalam ilmu-ilmu fardul ‘ain dan memperluas ilmu fardul kifayah.
vii. Memahami fiqhul Islam yang pelbagai seperti fiqh al-ikhtilaf, fiqh al-awlawiyat, fiqh al-muwazanat, fiqh al-siyasah dan lain-lain.

2. Tarbiyyah Khulqiyyah (tingkah laku)

Akhlak ini meliputi seluruh sudut kehidupan. Ia meliputi kawalan nafsu, benar dalam percakapan, ihsan dalam amalan, amanah dalam muamalat, berani dalam memberikan pandangan, adil dalam menghukum, berazam untuk kebaikan dan sebagainya. Terdapat beberapa elemen penting dalam tarbiyah khulqiyyah yang harus diimplementasi dalam setiap ahli :
 Sabar
Sabar dalam apa jua keadaan tanpa cenderung kepada mana-mana sikap manusia (Ali Imran : 200)
 Thabat (tetap pendirian)
Istiqamah dan iltizam dalam perjuangan. Thabat menjadi benteng kepada penyakit-penyakit yang merosakkan dan menghalang gerak kerja dakwah.
 Amal (berwawasan)
Mempunyai azam dan cita-cita yang tinggi untuk menaikkan agama Islam dan memberi keyakinan dan pengharapan terhadap kejayaannya, tidak berputus asa dalam perjuangan Islam.
 Mencurahkan tenaga
Gigih dan berusaha dalam menggerakkan jemaah. Tidak kedekut dalam menyumbangkan masa, harta kebahagian keluarga, hatta dirinya sendiri untuk jalan dakwah. Ini sebagai tindak balas terhadap gerakan Kristian yang tidak jemu menaja missionarinya dalam merosakkan akidah Islamiyyah. Sedangkan kita di pihak yang benar tidak mampu untuk melakukannya.

3. Tarbiyyah Jihad Melawan Hawa Nafsu

Tarbiyah jihad ini merangkumi iman, akhlak, ruh, usaha bersama, kawalan dan latihan dan tindakan. Menanam ruh jihad nafsu, harta, jiwa dan masa. Ianya mencakupi kefahaman, akhlak, iman, persediaan ruh, persediaan mental, persediaan jasad dan persediaan keperluan (instrumen).Tarbiyyah ini memerlukan kefahaman dan amal daripada asas-asas tarbiyyah yang lain kerana ia adalah konsekuensi kepada tarbiyyah-tarbiyyah yang lain.

4. Tarbiyyah Ijtima’ie

Firman Allah swt :
و تعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدوان
“dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan melakukan dosa dan permusuhan”
(al-ma’idah: 2)

Perkara Yang Perlu Dilaksanakan Oleh Penganut Agama Islam Ialah :

 Sebagai perubah masyarakat.
 Membuat pemusatan untuk memberi khidmat dalam apa jua cara sekalipun, samada memberikan ta’lim (pendidikan), latihan dan rawatan dalam penjagaan masyarakat kepada menunjukan ‘izzah (kemuliaan) agama Islam kepada orang bukan Islam.
 Memberikan komitmen yang penuh kepada gerakan Islam dalam menjalani kerja-kerja da’wah dan mahir dalam merancang strategi dakwah.

5. Tarbiyyah Jasadiah (fizikal)
المؤمن القوي خير و أحب الى الله من المؤمن الضعيف...
“Orang beriman yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada oranfg mukmin yang lemah...”
(Hadis Riwayat Muslim)

Tarbiyyah ini membawa matlamat :

 Kesihatan fizikal dan menyelamatkannya daripada penyakit berjangkit.
 Kekuatan anggota fizikal dan boleh berkhidmat kepada Allah dengan hati yang senang pada bila-bila masa.
 Menjana kekuatan fizikal dengan mempelbagaikan medan perjuangan.

6. Tarbiyyah Siasiyyah (siasah)

Tarbiyyah siasiyyah memberi perhatian kepada pembentukan bangsa daripada pengabdian diri kepada ideologi, kepada ketaatan kepada Allah SWT. Ia menitik beratkan perkara hukum, peraturan daulah, hubungan kerajaan dengan musuh, kaitan antara muslim dan non-muslim dan seumpamanya. Justeru gabungan antara tarbiyyah siasiyyah dan tarbiyyah agama perlu dibina agar tidak berlaku pemisahan. Maka diharuskan ke atas ahli untuk :

 Kuatkan kesedaran dan sensitiviti dalam membangunkan bumi Islam yang bebas daripada kuasa orang kafir dan munafik. Dan seterusnya sebuah negara yang berdaulat dan kukuh dari segi ekonomi dan kestabilannya.
 Mengumpulkan sebanyak mungkin kemahiran dan kemahiran pembinaan siasah Islamiyyah sesama makhluk Allah.
 Menjalin hubungan baik dengan pemerintah serta non-muslim yang lain dengan menampilkan asas agama secara praktikal.
 Merancang tindakan dan aktiviti selaras dengan kehendak syariat.
 Memberikan pengisian ringkas tentang kesyumulan Islam dalam program siasah.






Harakah Islamiyyah perlu menekankan aspek tarbiyah kerana tarbiyyah merupakan perkara yang asas yang paling utama dan tulang belakang bagi sesebuah Harakah Islamiyyah. Sesebuah Harakah Islamiyyah seharusnya mewujudkan unsur-unsur yang mampu menjadikan seorang mukmin yang mempunyai sifat-sifat berikut :

1. Berkebolehan memimpin, membimbing dan mentarbiyah ummah yang semakin jauh dari agama.
2. Berkemampuan untuk menyampaikan dan mempertahankan fikrah Islam yang didokong oleh agama Islam dalam membangunkan agama Islam.
3. Kritis dan tidak menjadi pengikut semaat-mata.
4. Mempunyai pandangan yang mendalam terhadap waqi’ (situasi atau keadaan setempat)
5. Berpandangan jauh.
6. Menghayati tuntutan amal jama’ie dalam agama.






Manhaj (sistem) tarbiyyah merupakan perencanaan yang digunakan sesuatu harakah dalam proses pentarbiyahan ahlinya. Manhaj itu perlu merangkumi unsur-unsur berikut :

1. Marhalah Tarbiyyah (Peringkat)

Rasulullah s.a.w melakukan pentarbiyahan berperingkat terhadap sahabat disebabkan perbezaan kemampuan dan tabiat mereka. Hassan al-Banna sebagai pembawa tajdid dalam gerakan Islam menggariskan tiga marhalah (peringkat) tarbiyyah.

 Marhalah ta’arif : suatu tahap pembersihan aqidah
 Marhalah takwin : proses pembentukan rijal ad da’wah
 Marhalah tanfiz : memastikan ahli yang ditarbiyah berkualiti dari
sudut praktikalnya.

2. Tarbiyyah Melalui Murabbi

Peranan murabbi (orang yang medidik) perlu untuk membimbing dan memerhatikan peningkatan ilmu dan kefahaman, pembentukan syakhsiyyah serta penerusan amal yang diredhai Allah.

3. Tadrij (ansur-ansur)

Kaedah ini perlu dilaksanakan dalam tarbiyyah. Menentukan tahap penekanan tarbiyah ahli harakah perlu dimiliki oleh murabbi berdasarkan kawalan di setiap marhalah.


4. Tawazun (keseimbangan)

Keseimbangan tarbiyyah antara jasadiyyah dengan ruhiyyah amat perlu untuk mengelakkan terjadinya ahli yang terlalu memberi tumpuan kepada aspek tertentu sahaja.




Kelamahan tarbiyyah menyebabkan kelemahan ummah. Sesebuah harakah yang lemah menggambarkan kelemahan tarbiyyahnya.




1. Dr. Mazin Farrukh, Prinsip-Prinsip Asas Amal Islami. Dewan Pustaka Fajar.
2. S. Abul A’la Maududi, Beberapa Peringatan Untuk Para Da’ie. Dewan Pustaka Fajar.
3. Abu Urwah, Risalah Usrah, Jilid 3, bahagian II, Pustaka Salam, 1990.

1 comments:

Dr. Z menulis said...

Siapa pengarang kertas kerja kerja ini?

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates